KUALA LUMPUR 27 Julai – Ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Timur Tengah dijangka terus memberi limpahan positif kepada sektor minyak dan gas (O&G) Malaysia, kata Public Investment Bank.
Ujarnya, harga minyak mentah Brent berpotensi kekal tinggi susulan gangguan bekalan di dua laluan perkapalan strategik dunia, dan meletakkan Hibiscus Petroleum Berhad sebagai saham pilihan utama.
Justeru, firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor tersebut kerana kenaikan harga minyak dijangka memberi manfaat besar kepada syarikat-syarikat pengeluar segmen huluan industri.
"Hibiscus Petroleum kekal pilihan utama berdasarkan pendedahan langsung syarikat itu kepada harga minyak yang tinggi, dengan kami menetapkan harga sasaran (TP) RM2.80 sesaham," jelas PublicInvest.
Menurutnya, konflik baharu di rantau itu mengurangkan semula pergerakan kapal melalui Selat Hormuz selepas gencatan senjata sementara gagal apabila Iran mengumumkan penutupan terus laluan tersebut.
Pada masa sama, keadaan di Laut Merah bertambah tegang apabila kumpulan Houthi mengisytiharkan sekatan di laut terhadap Arab Saudi, serta mengancam kapal yang menggunakan pelabuhan negara itu.

PublicInvest berkata, perkembangan terkini itu meningkatkan lagi risiko gangguan di laluan utama kapal perdagangan minyak dunia yang menghubungkan pengeluar Timur Tengah dengan pasaran global.
"Kebimbangan gangguan stok menyebabkan harga minyak mentah Brent melepasi AS$100 (RM408) setong, lebih tinggi daripada jangkaan kami sekitar AS$70 (RM285) bagi separuh kedua 2026," tambahnya.
Sehubungan itu, ia berpandangan unjuran purata harga Brent bagi 2026 kini ada potensi kenaikan yang lebih besar memandangkan pasaran kekal dipengaruhi perkembangan konflik dan rundingan diplomatik.
Jelas PublicInvest, Bab el-Mandeb semakin penting kerana Arab Saudi mengurangkan kebergantungan kepada Selat Hormuz, namun eksport masih perlu melalui Laut Merah sebelum memasuki laluan tersebut.
Katanya, jika dua laluan strategik itu terus terganggu, penyusutan inventori minyak global mungkin lebih pantas, selain berlaku peningkatan kos insurans dan penghantaran, serta kelewatan bekalan.
"Sehubungan itu, kami mengekalkan pandangan positif terhadap sektor O&G di Malaysia dan menjangka syarikat pengeluar minyak mendapat manfaat persekitaran harga yang kukuh," ujarnya. - DagangNews.com








