KUALA LUMPUR 27 Julai – Saham NEXG Holdings Bhd berpotensi meneruskan momentum kenaikan selepas PublicInvest Research mengeluarkan saranan `belian teknikal', disokong momentum harga yang semakin mengukuh serta prospek asas syarikat yang positif berikutan pelaksanaan inisiatif identiti digital negara.
Firma penyelidikan itu berkata, corak teknikal saham NEXG kini menunjukkan isyarat yang lebih konstruktif susulan pergerakan harga terkini, dengan saham berkenaan ditutup pada RM0.275 pada Isnin.
PublicInvest mengenal pasti paras sokongan pada RM0.260, RM0.230 dan RM0.205, manakala paras rintangan masing-masing pada RM0.305, RM0.325 dan RM0.345.
Menurut PublicInvest, sekiranya saham itu berjaya melepasi paras rintangan pertama pada RM0.305, ia berpotensi menguji paras RM0.325 sebelum meneruskan kenaikan ke RM0.345.
Saranan belian teknikal itu dibuat ketika pelabur terus memantau pemangkin yang dijangka muncul daripada pelaksanaan program MyKad dan pasport baharu kerajaan, iaitu segmen yang menjadi antara kekuatan NEXG menerusi perniagaan penyelesaian identiti selamat dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sektor kerajaan.
Selain itu, syarikat turut menawarkan penyelesaian infrastruktur digital yang disokong teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi pencegahan penipuan serta perkhidmatan pendigitalan proses pendaftaran pelanggan, sekali gus meletakkannya pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan agenda pendigitalan negara.
Program identiti digital jadi pemangkin utama
PublicInvest mengekalkan prospek positif terhadap NEXG, disokong keadaan ekonomi yang menggalakkan serta jangkaan pelaksanaan program MyKad dan pasport baharu yang berpotensi membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada syarikat.
Menurut firma penyelidikan itu, penekanan NEXG terhadap pelaksanaan operasi yang berkesan, kerjasama strategik dan inovasi berterusan dijangka terus mengukuhkan kedudukan daya saingnya.
Walaupun hasil dijangka susut 6.77% pada tahun kewangan 2026 (FY26) selepas mencatat pertumbuhan dalam dua tahun sebelumnya, syarikat sebelum ini merekodkan prestasi keuntungan yang kukuh apabila pendapatan bersih ternormal meningkat 21% pada FY24 dan 23.22% pada FY25.
Keuntungan syarikat turut bertambah baik dalam tempoh sama apabila pulangan atas ekuiti (ROE) meningkat kepada 29.13% pada FY25 berbanding 25.37% pada FY24, manakala pulangan atas aset (ROA) naik kepada 22.58%.
Kedudukan kewangan semakin kukuh
Data PublicInvest turut menunjukkan kedudukan kewangan NEXG terus bertambah baik apabila nisbah hutang kepada ekuiti berjaya dikurangkan kepada 6.96% pada FY26 berbanding 16.29% pada FY24.
Saham syarikat didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) sejarah sebanyak 5.9 kali bagi FY25, manakala nisbah harga kepada nilai buku (P/B) berada pada 1.89 kali berdasarkan unjuran FY26.
Gabungan kedudukan kewangan yang semakin kukuh, peningkatan keuntungan serta potensi manfaat daripada pelaksanaan program identiti digital kerajaan dijangka terus mengekalkan minat pelabur terhadap saham berkenaan. — DagangNews.com








