Sektor AI catat pelaburan diluluskan RM3.2 bilion pada separuh pertama 2025, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor AI catat pelaburan diluluskan RM3.2 bilion pada separuh pertama 2025, Parlimen diberitahu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Ogos — Sektor kecerdasan buatan (AI) Malaysia telah berjaya menarik RM3.29 bilion pelaburan diluluskan pada tempoh separuh pertama 2025, menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

 

Beliau menambah, kesemua pelaburan tersebut berpotensi dalam mewujudkan sejumlah 6,920 peluang pekerjaan baharu di seluruh negara di bawah inisiatif khas dikenali sebagai Digital Malaysia.

 

"Pelaburan ini turut menandakan kemajuan pesat yang telah dapat dicapai oleh pihak Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) dalam membangunkan ekosistem AI negara," beliau memberitahu Dewan Rakyat.

 

Gobind menyatakan demikian sebagai menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai perkembangan semasa dicatatkan NAIO pada ketika ini.

 

Sementara itu, beliau berkata, Sidang Kemuncak Digital ASEAN 2025 diadakan dari 11 hingga 13 Ogos 2025, sebagai sebahagian usaha mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap digital serantau.

 

Mengenai kerjasama rentas sektor, beliau menambah, kajian ke atas impak AI ke atas sektor awam melibatkan 28 kementerian sedang dalam fasa terakhir, dengan 55 kes penggunaan dikenal pasti.

 

"Ini termasuk isu ramalan trafik, pengurusan pelabuhan pintar, radiologi dan pengurusan sumber hospital, pendigitalan rekod perubatan dan ramalan permintaan bekalan pertanian," kata Gobind.

 

Kajian secara menyeluruh berkenaan kata beliau, turut dilakukan untuk mengenal pasti sebarang impak terhadap sistem pengesanan makhluk perosak, dan program peningkatan kemahiran tenaga kerja.

 

Beliau seterusnya menambah, bahawa program 'AI at Work' juga akan digunakan oleh kerajaan untuk meningkatkan lagi tahap operasi sektor awam di negara ini.

 

“Usaha-usaha ini juga penting untuk merealisasikan transformasi negara kita daripada perspektif sosial, ekonomi dan tadbir urus,” kata Gobind. - DagangNews.com