KUALA LUMPUR 30 Sept – Sekatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Iran yang kembali berkuat kuasa mulai 28 September 2025 dijangka tiada kesan ketara terhadap sektor minyak dan gas (O&G).
Menurut CGS International (CGSI), langkah badan dunia berkenaan diramal tidak akan menjejaskan penawaran minyak global, harga minyak mentah atau kadar penghantaran ke destinasi melalui jalan laut.
Firma penyelidikan itu berkata, tindakan Britain, Perancis dan Jerman mengaktifkan semula sekatan di bawah perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) juga tidak mengubah status-quo.
"China menganggap sekatan oleh tiga negara Eropah ini tidak sah dan berkemungkinan besar akan terus membeli minyak Iran menggunakan kapal tangki ‘gelap’," kata firma tersebut dalam notanya.
CGSI turut mengekalkan saranan ‘overweight’ ke atas sektor O&G Malaysia dengan Dialog Group Berhad sebagai pilihan utama berdasarkan prospek syarikat meraih beberapa kontrak terminal tangki utama.
Walaupun data rasmi import China dari Iran tidak lagi diterbitkan, firma berkenaan merujuk kepada anggaran menerusi pelbagai pihak yang sehingga 90% eksport minyak Iran masih dapat diserap oleh China.
Sekiranya bahagian China dalam import minyak Iran menurun lebih jauh, risiko kenaikan harga minyak dan kadar sewa kapal tangki boleh naik kerana pasaran perlu mencari sumber bekalan alternatif.
"Kami menilai meskipun Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) cuba menambah kuota pengeluaran, harga minyak antarabangsa kekal stabil sekitar AS$68 (kira-kira RM286) setong," tambah CGSI.
Keadaan tersebut jelasnya, didorong oleh permintaan China yang membeli banyak untuk menambah rizab strategik negaranya dan ia juga menyangkal unjuran oleh Energy Information Administration (EIA).
Agensi Amerika Syarikat (AS) itu kata firma berkenaan, pernah meramalkan harga Brent kemungkinan kononnya boleh jatuh kepada AS$55 (RM231) pada Disember 2025 dan AS$51 (RM214) pada awal 2026.
Sebaliknya CGSI berpandangan, sebahagian besar penganalisis turut menyatakan sokongan kukuh China terhadap pasaran minyak mentah global akan mengekalkan harga pada paras yang lebih tinggi.
"Kadar sewa kapal tangki juga menunjukkan peningkatan dengan pengangkut minyak paling besar (VLCC) naik 24% manakala jenis Suezmax meningkat 15% dari separuh pertama ke suku ketiga 2025," katanya.
Keadaan positif tersebut jelas firma berkenaan, memberi prospek yang baik kepada syarikat-syarikat berkaitan sektor O&G seperti MISC Berhad, terutamanya dalam bahagian kapal tangki petroleum.
Bagaimanapun, CGSI mengingatkan risiko penurunan terhadap sektor berkenaan termasuk potensi kelembapan permintaan minyak global serta penurunan harga sekiranya ekonomi dunia pula terjejas.
Keadaan itu kata firma tersebut, masih boleh berlaku akibat isu ketegangan perdagangan, khususnya dari pelaksanaan tarif baharu AS yang mengganggu eksport antarabangsa. - DagangNews.com








