KUALA LUMPUR 7 Okt – Sejumlah RM253.89 juta sudah disalurkan setakat ini menerusi program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) dengan melibatkan 3,062 komuniti serta 3,182 aktiviti ekonomi.
Ia dikelolakan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) membolehkan komuniti mengenal pasti keperluan utama mereka sendiri dan melaksanakan projek secara berasaskan komuniti.
Fokus program itu membabitkan penduduk dari kampung pedalaman, penempatan Orang Asli hingga ke kawasan flat projek perumahan rakyat (PPR) dan kejiranan golongan berpendapatan rendah di bandar.
ICU JPM diperuntukkan RM350 juta di bawah Belanjawan 2025 dan kini ia menunjukkan impak ketara dalam memperkasakan komuniti akar umbi untuk memacu pembangunan sosial dan ekonomi secara kendiri.
Komuniti Orang Asli juga tidak ketinggalan dengan sebanyak 32 komuniti menerima sejumlah RM2.88 juta, sekali gus membuka ruang kepada penyertaan kumpulan terpencil dalam peluang ekonomi lestari.
Lima negeri teratas ialah Sabah (529 projek bernilai RM35.05), diikuti Terengganu (407, RM21.84 juta), Pahang (391, RM37.26 juta), Pulau Pinang (308, RM29.53 juta) dan Perak (262, RM25.50 juta).
Antaranya, di Kampung Parit Tengah, Air Hitam, Johor, projek pertanian cili dan tembikai wangi secara fertigasi yang diusahakan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Program SejaTi Madani itu dilaksanakan dengan sokongan Jabatan Kemajuan Komuniti sudah menjana pendapatan RM27,000, di samping membuka peluang pekerjaan kepada golongan ibu tunggal dan B40.
"Sebahagian hasil membantu keluarga miskin. Projek ini bukan sahaja beri peluang pekerjaan, malah pemangkin perluasan aktiviti ekonomi komuniti,” kata Pengerusi JPKK Parit Tengah, Rosdi Ab Rahaman.
Sementara itu, di Kuala Lumpur, Persatuan Penduduk Bukit Setiawangsa memajukan penanaman cendawan tiram di kawasan Surau Ar Rashidin, menggabungkan solidariti kejiranan dengan pemerkasaan ekonomi.
“Walaupun cabaran pasaran masih wujud, projek ini kukuhkan ukhuwah dan manfaat kewangan kepada komuniti sejak dilancarkan Disember 2024,” ujar pengerusi persatuan, Ahmad Shukri Abdul Shukor.
Kedua-dua pimpinan komuniti menyuarakan harapan agar Belanjawan 2026 bukan sahaja menambah peruntukan, tetapi menyediakan bantuan bersifat bahan, nasihat dan pasaran bagi komuniti berjaya.
“Komuniti yang lemah juga bagaimanapun perlu terus dibimbing oleh pihak berwajib supaya projek diusahakan mereka itu akan dapat berdaya maju dan lestari dalam jangka panjang,” tegas Rosdi.
Ahmad Shukri pula menekankan komuniti kecil wajar diberi peluang menyumbang secara langsung kepada ekonomi negara melalui pembiayaan holistik dan sokongan pelaksanaan. - DagangNews.com








