Segmen utiliti berpotensi pacu pertumbuhan baharu Insights Analytic - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen utiliti berpotensi pacu pertumbuhan baharu Insights Analytic - CIMB Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 April - Kemasukan Insights Analytics Bhd (IAB) ke dalam segmen utiliti tenaga dilihat membuka ruang pertumbuhan baharu serta meningkatkan keterlihatan pendapatan jangka panjang syarikat, menurut CIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, subkontrak terbaharu bernilai RM12.2 juta bagi kerja-kerja di sebuah pencawang di Sarawak menandakan langkah pertama IAB dalam sektor utiliti tenaga, sekali gus memperluaskan operasi syarikat yang sebelum ini tertumpu kepada sektor air.

 

“Kami melihat perkembangan ini secara positif kerana ia membuka satu vertikal pertumbuhan baharu dalam utiliti tenaga,” katanya dalam satu nota hari ini.

 

Menurut CIMB Securities, segmen utiliti tenaga menawarkan pasaran boleh ditangani yang lebih besar berbanding sektor air, disokong oleh kerumitan aset dan skala operasi yang lebih luas.

 

Katanya, kontrak tersebut turut meningkatkan keterlihatan pendapatan IAB apabila nilai buku pesanan tertunggak syarikat itu meningkat sebanyak 20.2% kepada RM72.7 juta.

 

“Selain menyumbang kepada pendapatan jangka pendek, IAB juga berada dalam kedudukan strategik untuk memanfaatkan peluang dalam ekosistem infrastruktur tenaga Sarawak,” katanya.

 

Firma itu menambah, antara bidang yang berpotensi diterokai termasuk pendigitalan pencawang, pemantauan pintar serta integrasi sistem, selari dengan keperluan industri terhadap kecekapan operasi dan automasi.

 

Dalam jangka panjang, CIMB Securities berpandangan pendigitalan utiliti tenaga berpotensi menjadi pasaran yang lebih besar dan berskala berbanding sektor air, memandangkan liputan sistem yang lebih meluas serta keperluan pemantauan masa nyata merentasi rangkaian elektrik.

 

Perkembangan tersebut dijangka menyokong trajektori pertumbuhan IAB, khususnya dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatan dan mengukuhkan kedudukan dalam segmen teknologi infrastruktur. - DagangNews.com