Segmen tenaga masih pacu T7 Global, jangka jana hasil RM300 juta pada FY25 - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen tenaga masih pacu T7 Global, jangka jana hasil RM300 juta pada FY25 - Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Sept – Segmen tenaga dijangka terus menjadi pemacu utama kepada prestasi T7 Global Berhad, disokong oleh lonjakan aktiviti penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM).

 

Phillip Capital berkata, peningkatan permintaan dapat dilihat jelas menerusi projek Pan-Malaysia yang menawarkan pelbagai aktiviti MCM kepada kumpulan perkhidmatan minyak dan gas (O&G) itu.


Firma penyelidikan tersebut menjangkakan prestasi lebih kukuh dalam separuh kedua tahun kewangan 2025 (2H25), terutama hasil sumbangan daripada kontrak itu yang mula menyumbang sejak Mei 2025.


"Tender ini dijangka menjana hasil sekitar RM300 juta bagi tahun kewangan 2025, meningkat begitu ketara berbanding hanya sebanyak RM165 juta pada 2024," kata firma tersebut dalam nota kajiannya.


Tambah Phillip Capital, aset utama kumpulan berkenaan seperti TSeven Elise dan Shirley MOPU juga mencatat kadar ketersediaan operasi tinggi masing-masing mencecah kira-kira 99.7% dan 99.0%. 


Perkembangan positif daripada projek operasi MCM pesisir tersebut kata firma tersebut, dijangka mampu memberikan pendapatan secara berulang yang cukup stabil kepada hasil T7 Global sendiri.


Selain itu, unit pelantar jack-up juga beroperasi hampir pada kapasiti penuh, menyempurnakan 13 telaga dalam tempoh enam bulan pertama FY25, dan menyumbang kestabilan hasil dalam segmen tenaga.


"Bagaimanapun, segmen rumusan industri (IS) dijangka kekal perlahan dalam 2HFY25, terkesan oleh kelewatan projek dan kelembapan dalam aktiviti Specialist Products & Technology (SPT)." katanya.


Projek utama seperti Sistem Pengendalian Bagasi KLIA (BHS) masih berdepan cabaran pelaksanaan, dengan perbincangan lanjutan masa dan penjadualan semula kerja dijalankan bersama pelanggan.


Sementara itu kata Phillip Capital, projek lain menunjukkan kemajuan, antaranya 70% penghantaran meter pintar kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan program penggantian radar mencapai penyelesaian 43%.


Bagi menampung kelembapan hasil tambah firma penyelidikan itu, T7 Global sedang giat menyertai banyak tender baharu, termasuk projek infrastruktur yang bernilai tinggi dan pelaksanaan meter pintar TNB.


"Kumpulan perkhidmatan O&G tersebut ketika ini memiliki buku tempahan kukuh berjumlah RM4.2 bilion, dengan 90% daripadanya terdiri daripada segmen tenaga, manakala bakinya daripada IS," kata firma itu.


Situasi ini memberikan syarikat itu kepada daya pandang pendapatan jangka panjang yang lebih stabil dan 
Phillip Capital mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran tidak berubah 28 sen sesaham.


Ia turut kekal positif terhadap T7 Global sebagai penerima manfaat utama aktiviti luar pesisir yang rancak di pasaran domestik walaupun mungkin masih berdepan dengan beberapa risiko utama.


Antaranya termasuk masalah kelewatan kerja yang tidak dijangka dalam projek BHS, cabaran pesanan kerja lebih rendah daripada jangkaan, serta kos operasi semakin tinggi. - DagangNews.com