KUALA LUMPUR 20 Nov — Aeon Co (M) Berhad terus mencatat prestasi bercampur pada suku ketiga yang berakhir September 2025, dengan segmen runcit kekal lembap berikutan perbelanjaan pengguna lemah.
Bagaimanapun segmen perkhidmatan pengurusan hartanah (PMS) sekali lagi menjadi tonggak kestabilan hasil dengan dua firma penyelidikan menetapkan pandangan positif terhadap prospek kumpulan itu.
MBSB Research masih lagi mengekalkan saranan 'beli' namun menurunkan harga sasaran (TP) sesaham kepada RM1.66 daripada RM1.77 sebelum ini, selepas keputusan 9MFY25 berada di bawah jangkaannya.
"Walaupun prestasi runcit lemah, pengurusan kos dan kekuatan PMS membantu meningkatkan keuntungan teras Aeon sebanyak 67.7% untuk tempoh suku ke suku (QoQ)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Ia merujuk keuntungan bersih teras pada 3Q25 iaitu RM22.3 juta, naik 16.1% tahun ke tahun (YoY), yang membawa keuntungan teras 9 bulan kepada RM104.9 juta, tetapi hanya 66% daripada unjuran MBSB.
Segmen runcit jelas MBSB Research, didapati merosot 2.4% YoY akibat perbelanjaan pengguna yang berhati-hati serta impak bantuan kredit kerajaan yang mengalihkan trafik kepada peruncit terpilih.
Segmen PMS tambah firma penyelidikan tersebut, namun didapati melonjak kira-kira 6.4% YoY kepada RM192.5 juta, disokong oleh faktor kadar penyewaan stabil dan pembaharuan kontrak yang berkesan.
"Kami menjangkakan prospek Aeon kekal positif, dipacu pelaburan digital, pengukuhan jenama label tertentu, pembaikan rangkaian pusat beli-belah serta sokongan sentimen pengguna domestik," katanya.
Sementara itu, TA Securities melihat keputusan 9M25 sebagai sejajar jangkaan, dengan keuntungan teras sebanyak RM96.3 juta yang mewakili 63% daripada unjuran tahunan firma berkenaan sendiri.
Ia menjangkakan tempoh 4Q25 akan lebih kukuh, sejajar pola bermusim serta pembukaan semula beberapa cawangan utama, dengan segmen PMS sekali lagi menyerlah peranannya sebagai penyumbang konsisten.
Sebaliknya, segmen runcit terus tertekan ekoran kerugian operasi suku meningkat hampir tiga kali ganda YoY kepada RM24.3 juta akibat saiz bakul perbelanjaan lebih kecil dan kos operasi tinggi.
"Keadaan lemah berkenaan termasuk disebabkan kerja-kerja pembaikan premis tertentu, tetapi secara keseluruhan, hasil kasar runcit 9M25 merosot 96.1% YoY kepada RM1.8 juta," kata TA Securities.
Ia masih mengekalkan TP RM1.45 sesaham tetapi menaik taraf saranan kepada 'beli' kerana kelemahan harga saham Aeon baru-baru ini menawarkan peluang masuk yang lebih menarik kepada pelabur tempatan.
Tambah firma itu, langkah pembukaan semula Aeon Bandaraya Melaka, Aeon Shah Alam serta kerja naik taraf Aeon Bukit Indah dijangka meningkatkan trafik dan memacu jualan musim perayaan akhir tahun.
Secara keseluruhan, TA Securities lebih optimis dengan pemulihan bermusim pada 4Q25, mencerminkan keyakinan firma penyelidikan itu terhadap nilai jangka panjang serta strategi pemulihan Aeon.
"Kami bersetuju yang segmen runcit Aeon berada dalam keadaan mencabar pada 3Q25, namun berpendapat bahawa PMS akan kekal menjadi penyokong utama keuntungan," katanya. - DagangNews.com








