KUALA LUMPUR 6 Mac - Segmen pembuatan QES Group Bhd yang mengecewakan pada FY25 susulan kelembapan jualan semikonduktor dijangka mencatatkan perubahan nasib tahun ini berikutan tempahan kukuh bagi produk teknologi perubatan, kata Public Investment Bank (PublicInvest).
Berdasarkan prospek positif itu, firma penyelidikan tersebut telah menaikkan unjuran pendapatan bagi FY26–28F antara 5–7%.
PublicInvest juga menaikkan saranan saham kepada Outperform dengan harga sasaran baharu RM0.47.
Firma penyelidikan itu berkata, pihak pengurusan syarikat mensasarkan jualan sebanyak RM300 juta bagi tahun ini, disokong oleh buku tempahan kukuh berjumlah RM108 juta setakat Januari 2026, termasuk RM84 juta daripada Value Engineering dan RM24 juta daripada segmen Manufacturing.
Katanya, segmen pembuatan dijangka menyumbang RM55–60 juta, meningkat ketara berbanding RM31 juta pada FY25, mencerminkan pertumbuhan positif hasil daripada pesanan semasa dan pemulihan operasi.
Dalam pada itu, syarikat memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM12–17 juta bagi penyusunan semula ruang di loji Shah Alam serta pemasangan cleanroom di loji Batu Kawan, selaras dengan strategi pengukuhan kapasiti operasi dan persediaan menghadapi permintaan masa depan.
Menurut PublicInvest, QES mencatatkan sedikit penurunan jualan bagi FY25, susut 1% YoY kepada RM266.8 juta, terutamanya disebabkan kelembapan segmen pembuatan yang merosot 27.7% YoY.
Dari segi pecahan jualan mengikut industri, sektor automotif menjadi penyumbang terbesar dengan 33.9% jualan, mengatasi semikonduktor (33.2%) dan E&E (20.7%).
Segmen semikonduktor mencatatkan penurunan 23.7%, terjejas oleh penghantaran peralatan Automated Wafer Handling System (AHS) yang rendah ke front-end wafer fab di Kulim.
Dalam divisyen pembuatan, AHS mencatat prestasi lemah apabila jualan merosot 78% YoY.
Sebaliknya, produk lain mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan siri AOI, OIS, AMS dan SMS masing-masing meningkat 95%, 82%, 52% dan 71%, menunjukkan daya tahan segmen lain dalam menghadapi cabaran pasaran semikonduktor. - DagangNews.com








