KUALA LUMPUR 27 Ogos – WCT Holdings Berhad mencatatkan prestasi bercampur bagi suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25), dengan segmen hartanah menunjukkan lonjakan keuntungan, manakala segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C) pula menyusut ketara, menurut tiga firma penyelidikan utama.
MBSB Research, Public Investment Bank (PublicInvest), dan CGS International (CGSI) memberikan pandangan berbeza dari segi unjuran keuntungan dan harga sasaran (TP), namun sependapat kekuatan perniagaan hartanah WCT dan penyahhutangan menerusi penyenaraian Paradigm REIT memberikan ruang pemulihan kepada kumpulan.
Bagaimanapun, MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan menyemak turun unjuran pendapatan bagi FY25 hingga FY27 sebanyak 11% hingga 17% selepas keputusan untuk separuh pertama 2025 (1HFY25) yang lemah diumumkan oleh pengurusan kumpulan E&C berkenaan semalam.
Keuntungan bersih teras pada 1HFY25 didapati susut 40.1% tahun ke tahun (YoY) kepada RM28.3 juta, dan hanya mencapai sebanyak 36.9% daripada unjuran tahun penuh firma penyelidikan itu.
"Kelemahan dalam segmen pembinaan, termasuk margin lebih rendah dan kelewatan pelaksanaan projek, dikenal pasti telah menjadi punca utama," kata MBSB Research dalam nota kajiannya, hari ini.
Namun begitu, ia menjangkakan sumbangan keuntungan akan bertambah baik dalam suku akan datang dengan kemajuan projek Pavilion Damansara Heights dan kontrak tambahan lorong Lebuhraya Utara-Selatan bernilai RM365 juta.
Penyenaraian Paradigm REIT pada Jun 2025 kata firma penyelidikan tersebut, juga mengurangkan hutang kumpulan itu daripada RM3.01 bilion kepada RM1.78 bilion, menurunkan nisbah gear bersih WCT Holdings kepada 0.47 kali.
Sementara itu, PublicInvest pula mengekalkan saranan 'outperform', namun menurunkan TP kepada 94 sen sesaham, sambil menyemak unjuran pendapatan FY25 hingga FY27 turun purata 46% akibat margin lemah dalam segmen pembinaan.
Pendapatan bersih 2QFY25 susut 51% YoY kepada RM15.3 juta walaupun hasil meningkat 46.9% YoY kepada RM552.8 juta, disumbangkan oleh segmen pembangunan hartanah yang melonjak hampir dua kali ganda kepada RM241.4 juta, termasuk hasil jualan tanah.
"Kami melihat unjuran masa depan bergantung kepada keupayaan WCT Holdings melaksanakan projek dengan berkesan dan menambah semula buku tempahan pembinaan yang kini sekitar RM2.6 bilion," kata PublicInvest.
Firma itu menambah, sasaran jualan hartanah sebanyak RM1.1 bilion pada FY25 dilihat masih berada pada landasan dengan pencapaian setakat 1H25 telah merekodkan RM362 juta.
Dalam pada itu, CGSI pula lebih optimistik, dengan mengulangi saranan 'tambah' dan TP yang lebih tinggi iaitu RM1.28 sesaham, berdasarkan kepada nilai penjumlahan bahagian.
Firma tersebut berpendapat prestasi lemah suku ini dijangka diimbangi oleh faktor penjimatan faedah hasil daripada aktiviti penyahhutangan selepas penyenaraian Paradigm REIT.
Dalam segmen hartanah, keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) mencecah RM44 juta (+93% YoY), manakala paras inventori susut ketara kepada hanya RM17 juta, daripada RM172 juta akhir FY23, menunjukkan keberkesanan pelupusan stok.
"Walaupun EBIT segmen pembinaan hanya RM3 juta, kami melihat perubahan ketara dalam pendekatan WCT Holdings terhadap tender, dengan penekanan kepada projek margin tinggi termasuk ECRL, LRT Pulau Pinang, ART Johor, pusat data, dan projek di Timur Tengah," kata CGSI.
Justeru, firma penyelidikan berkenaan percaya kumpulan tersebut kini lebih agresif dalam merebut peluang kontrak infrastruktur dan eksport kepakaran.
Walaupun prestasi kewangan 2QFY25 berada di bawah jangkaan kebanyakan penganalisis, ketiga-tiga firma itu melihat potensi pemulihan WCT Holdings dalam separuh kedua FY25, disokong segmen hartanah yang teguh, strategi pengurangan hutang, dan pelbagai tender berskala besar dalam dan luar negara.
Perbezaan utama antara ketiga-tiga firma berkenaan terletak pada jangkaan kadar pemulihan kumpulan itu, dengan TP berbeza antara 93 sen hingga RM1.28 sesaham. - DagangNews.com








