Segmen pajak gadai tingkatkan margin Well Chip, lonjakan untung 1H25 atasi jangkaan – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen pajak gadai tingkatkan margin Well Chip, lonjakan untung 1H25 atasi jangkaan – Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Prestasi cemerlang menerusi segmen pajak gadai telah menjadi pemacu utama kepada margin keuntungan Well Chip Group Berhad, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).


Firma itu merujuk peningkatan keuntungan bersih sebanyak 45.8% tahun ke tahun (YoY) kepada RM38.2 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 (1H25), yang turut melebihi jangkaannya sendiri.


Tambahnya lagi, margin kasar perniagaan perkhidmatan pajak gadai syarikat meningkat sebanyak 11 mata peratusan YoY susulan kos operasi yang lebih rendah dan pertumbuhan pinjaman semakin kukuh. 


"Ini secara langsung mengimbangi penurunan hasil segmen peruncitan dan perdagangan (RT), sekali gus membawa margin kasar kepada 55.4% berbanding hanya 43.5% pada tahun sebelumnya," kata Maybank IB.


Dalam suku kedua (2Q25) katanya, keuntungan bersih Well Chip meningkat 43% YoY kepada RM20.3 juta iaitu kira-kira 13.4% suku ke suku (QoQ), didorong oleh sumbangan lebih kukuh daripada segmen RT.


Ia menyaksikan peningkatan margin sebanyak 3.6 mata peratusan, meskipun hasil RT sebenarnya menurun 8% YoY disebabkan faktor jualan emas lusuh yang lebih rendah dalam tempoh tiga bulan tersebut.


Pada masa yang sama kata Maybank IB dalam notanya, kumpulan berkenaan telah berjaya melengkapkan usaha pengambilalihan tiga kedai pajak gadai di Perak dan membuka satu lagi cawangan di Johor.


"Keempat-empat cawangan ini dijangka menyumbang sekitar RM6 juta dalam keuntungan tahunan, dengan tambahan enam lagi cawangan baharu dirancang di Johor dan Melaka menjelang FY26 pula," katanya.


Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' ke atas Well Chip dengan harga sasaran RM1.48 sesaham, bersandarkan kepada penilaian perolehan 14.4 kali ganda FY25 selaras dengan purata sektor pajakan.


Walaupun unjuran pendapatan pada FY25 hingga FY27 dikekalkan buat masa ini, firma penyelidikan itu masih optimis terhadap potensi pertumbuhan kumpulan ini dalam pasaran tempatan sejak sekian lama.


“Kami melihat Well Chip berada di landasan kukuh mengekalkan momentum pertumbuhan hasil dan margin, terutama melalui perluasan cawangan dan kecekapan kos berterusan,” jelasnya. - DagangNews.com