KUALA LUMPUR 21 Mei – Kerjaya Prospek Group Berhad mencatat peningkatan keuntungan bersih bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY26) walaupun hasil kumpulan susut berikutan kemajuan kerja pembinaan yang lebih perlahan.
Kumpulan itu merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM57.2 juta berbanding RM46.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu, manakala keuntungan boleh diagihkan kepada pemegang saham meningkat kepada RM57.3 juta daripada RM46.1 juta sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil kumpulan menurun kepada RM446.8 juta berbanding RM472 juta yang dicatatkan dalam suku pertama tahun kewangan 2025.
Kerjaya Prospek berkata, penurunan hasil itu sebahagian besarnya disebabkan kadar kemajuan projek pembinaan yang lebih perlahan dalam tempoh semasa.
“Segmen pembinaan dijangka terus menjadi penyumbang utama kepada hasil dan keuntungan kumpulan pada masa hadapan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagi segmen pembinaan, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM478.7 juta berbanding RM537.2 juta setahun lalu, manakala keuntungan segmen meningkat kepada RM55.8 juta daripada RM52 juta sebelumnya.
Menurut syarikat itu, walaupun pendapatan pembinaan menyusut kira-kira 10.9%, margin keuntungan bertambah baik disokong kecekapan operasi dan pengurusan kos yang lebih baik.
Segmen pembangunan hartanah pula terus menyumbang positif dengan hasil meningkat kepada RM68 juta berbanding RM49.1 juta sebelum ini, dipacu jualan projek The Vue @ Monterez dan Papyrus @ North Kiara.
Bagaimanapun, keuntungan segmen pembangunan hartanah sedikit rendah pada RM7.3 juta berbanding RM7.6 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.
Dalam masa sama, segmen pelaburan mencatat lonjakan keuntungan kepada RM56.5 juta berbanding RM31.2 juta sebelumnya, didorong terutamanya pendapatan dividen daripada subsidiari.
Dari sudut kedudukan kewangan, Kerjaya Prospek mengekalkan aliran tunai yang kukuh dengan tunai dan baki bank berjumlah RM287 juta setakat 31 Mac 2026.
Selepas mengambil kira deposit tetap dan pinjaman jangka pendek, kumpulan merekodkan kedudukan tunai bersih sebanyak RM243.5 juta berbanding RM317.9 juta setahun lalu.
Kumpulan turut mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 3.5 sen sesaham membabitkan pembayaran RM44 juta yang telah dibayar pada 26 Mac 2026.
Mengulas prospek semasa, Kerjaya Prospek berkata kumpulan akan terus memantau cabaran operasi termasuk ketidaktentuan nilai ringgit, kenaikan harga minyak dan kekurangan tenaga kerja mahir, namun kekal disokong buku tempahan pembinaan bernilai RM4.3 bilion setakat 31 Mac 2026. - DagangNews.com








