KUALA LUMPUR 2 Mac – Prestasi lemah berterusan segmen pembangunan dan pelaburan hartanah menjadi isu kritikal membayangi keputusan kewangan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).
Menurut MBSB Research, perkembangan lemah pada suku terakhir tahun kewangan 2025 itu sekali gus menujukkan kebergantungan kumpulan itu kepada momentum projek kejuruteraan dan pembinaan (E&C).
Bagaimanapun firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 45 sen, menilai saham pada nisbah harga kepada buku (P/B) 0.54 kali, iaitu +1 sisihan piawai di atas purata tiga tahun.
"Bagi 4QFY25, hasil meningkat kecil 0.3% tahun ke tahun (YoY) kepada RM371.8 juta dan keuntungan teras melonjak kepada RM17.3 juta, dipacu pemulihan kukuh dalam divisyen E&C sendiri," tambahnya.
Secara kumulatif jelas MBSB Research, keuntungan teras MRCB bagi tempoh 12MFY25 susut 30% kepada sebanyak RM44.6 juta, namun masih 18% melebihi unjuran MBSB dan 38.1% mengatasi ramalan konsensus.
Divisyen E&C dan alam sekitar ujarnya, mencatat lonjakan keuntungan sebelum cukai (PBT) kira-kira 3.8 kali kepada sebanyak RM81.6 juta sepanjang suku tersebut berikutan kemajuan projek yang sedia ada.
Walaupun PBT susut 29% YoY kepada RM118.1 juta disebabkan sumbangan lebih rendah projek LRT3 yang hampir siap, prospek FY26 disokong projek baharu termasuk lima stesen LRT3 yang dipulihkan.
"Sebaliknya, divisyen pembangunan dan pelaburan hartanah mencatat kerugian sebelum cukai (LBT) RM29.9 juta pada 4QFY25 berbanding rugi hanya RM0.8 juta tahun sebelumnya," kata MBSB Research.
Keadaan itu jelas firma tersebut, susulan penyusutan inventori unit siap yang menjejaskan jualan, tetapi bagi tempoh 12 bulan, LBT mengecil kepada RM9.8 juta berbanding RM17.6 juta bagi sebelumnya.
Setakat 31 Disember 2025, jualan belum dibil mencecah RM1.4 bilion, dengan 96% disumbangkan projek Vista dan Maris di Gold Coast yang hanya diiktiraf selepas penyiapan fizikal dan penyerahan unit.
MRCB tambah MBSB Research, merancang pelancaran projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.2 bilion pada 2026, dan dari segi buku tempahan, kumpulan kini ada tunggakan RM5.7 billion.
"Sebahagian besarnya melibatkan projek infrastruktur, selepas melepasi sasaran penambahan kontrak FY25 iaitu sebanyak RM5.0 bilion dengan perolehan baharu RM5.5 bilion," jelas firma tersebut.
Antara projek utama termasuk lima stesen LRT3 (RM2.4 bilion) dan Kompleks Sukan Shah Alam (RM2.9 bilion), manakala rundingan projek pembangunan semula KL Sentral (RM1.0 billion) masih berjalan.
MBSB Research tidak membuat perubahan terhadap unjuran pendapatan MRCB bagi FY26 dan FY27, dengan menjangkakan momentum kerja infrastruktur awam serta penglibatan dalam projek adaptasi iklim.
Antaranya kontrak kerja-kerja tebatan banjir, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan infrastruktur air yang akan memperkukuhkan prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan itu. - DagangNews.com








