KUALA LUMPUR 26 Ogos – Sumbangan ketara daripada segmen pembangunan hartanah telah mendorong Kerjaya Prospek Group Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM54.5 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25), meningkat 46.6% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kenaikan positif secara ketara ini, menurut Public Investment Bank (PublicInvest), turut disokong oleh faktor kemajuan kukuh dalam projek-projek pembinaan yang sedang berjalan.
Prestasi ini menyumbang kepada jumlah keuntungan bersih terkumpul sebanyak RM100.4 juta bagi separuh pertama FY25, iaitu sejajar dengan jangkaan firma itu dan konsensus pasaran, masing-masing mewakili 52.6% dan 51.0% daripada anggaran tahun penuh.
“Kami mengekalkan saranan ‘outperform’ terhadap saham Kerjaya Prospek, dengan harga sasaran kekal kepada RM2.85 sesaham berdasarkan penilaian semasa,” jelas PublicInvest dalam nota kajiannya.
Segmen pembangunan hartanah mencatatkan pertumbuhan hasil lebih dua kali ganda tahun ke tahun (YoY) kepada RM68.8 juta, didorong oleh pengebilan aktif daripada dua projek utama, iaitu The Vue @ Monterez dan Papyrus @ North Kiara.
Ini seterusnya menyumbang kepada peningkatan sebanyak hampir tiga kali ganda keuntungan segmen kepada kira-kira RM10.9 juta, berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Segmen pembinaan pula menyumbang pendapatan sebanyak RM470.0 juta (+25.4% YoY), manakala keuntungan segmen tersebut melonjak 51.3% YoY kepada RM44.3 juta, selari dengan kemajuan projek yang lebih kukuh.
Secara keseluruhan kata PublicInvest, pendapatan kumpulan bagi suku tersebut meningkat kira-kira 36.4% YoY kepada sebanyak RM539.5 juta.
Kerjaya Prospek akan terus menumpukan kepada segmen pembinaan sebagai pemacu utama pertumbuhan, dengan buku tempahan semasa berjumlah RM3.9 bilion, memberikan kepastian pendapatan bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Setakat ini, jumlah kontrak baharu yang dimenangi bagi tahun kewangan ini mencecah RM870.3 juta, bersamaan 54.4% daripada sasaran pengisian semula buku tempahan FY25 sebanyak RM1.6 bilion.
“Kami yakin kumpulan ini akan terus memberi keutamaan kepada projek dengan margin lebih tinggi, sambil mengurus risiko perniagaan melalui strategi yang teliti,” menurut PublicInvest.
Sebagai tanda keyakinan terhadap prestasi kewangan, Kerjaya Prospek turut mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 3.0 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen setakat ini kepada 6.0 sen, berbanding 5.0 sen bagi tempoh sama dalam FY24. - DagangNews.com








