Segmen aset runcit terus pacu hasil teguh IGB pada 2QFY25, kata PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen aset runcit terus pacu hasil teguh IGB pada 2QFY25, kata PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 OgosIGB Berhad menyaksikan segmen aset runcit kekal sebagai penyumbang utama pendapatan kumpulan tersebut apabila hasil daripada portfolio hartanah runcitnya meningkat.

 

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, pertumbuhan sebanyak 6.8% tahun ke tahun (YoY) kepada RM160.1 juta itu berjaya direkodkan pada tempoh suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25). 


Lonjakan ini turut menyumbang kepada pendapatan hartanah bersih (NPI) 9.5% kepada RM119.9 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) 13.4% YoY kepada RM92.5 juta, dipacu oleh kadar sewaan lebih tinggi.


"Prestasi kukuh ini sebahagian besarnya disumbang oleh Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall, yang menunjukkan peningkatan dalam purata sewa kasar bulanan," kata firma itu dalam nota kajiannya.


Kedua-dua premis itu tambah PublicInvest, mencatatkan kadar penghunian melebihi 99%, manakala bagi FY25, sebanyak 104 pajakan atau 14% daripada keluasan boleh disewa (NLA), dijadualkan diperbaharui.


Perkembangan itu menunjukkan potensi peningkatan pendapatan berterusan kepada IGB sekiranya sewa dinaikkan dan pada masa sama, The Mall, Southkey Johor merekodkan lonjakan untung hampir 80%.


Premis itu katanya, mencatat peningkatan hasil kepada RM69.1 juta (+9% YoY), manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) pula melonjak 79% YoY kepada RM33.1 juta, dipacu hasil sewaan lebih tinggi.


"Walaupun prestasi aset runcit cemerlang, keuntungan bersih kumpulan bagi 2QFY25 susut 59.3% suku ke suku (QoQ) dan 0.2% YoY kepada RM75.3 juta, selaras jangkaan PublicInvest sendiri," katanya.


Keadaan ini menyebabkan PAT bagi separuh pertama FY25 berjumlah RM164.4 juta, menurun 36.9% YoY, yang menyumbang kira-kira 46% daripada unjuran pendapatan setahun firma penyelidikan tersebut.


Penurunan YoY ini katanya, didorong oleh kadar asas tinggi tahun lalu, berikutan keuntungan luar biasa berjumlah RM108.7 juta berikutan isu penjualan tanah yang direkodkan dalam tempoh 1QFY24.


Segmen hartanah komersial di bawah IGB Commercial REIT menunjukkan pertumbuhan sihat, dengan hasil kasar meningkat 12.7% YoY kepada RM64.6 juta, manakala NPI naik 10.5% YoY kepada RM38.1 juta.


"Kadar penghunian portfolio meningkat kepada purata 92% berbanding 89% pada tempoh suku sebelumnya, dengan sewaan purata sekitar RM6.46 bagi setiap kaki persegi (psf)," tambah PublicInvest lagi.


Segmen hotel pula mencatat peningkatan hasil sebanyak 5% YoY kepada RM82.6 juta, namun PBT susut 1% YoY kepada RM18.6 juta, disebabkan penutupan sementara sebuah hotel bagi kerja pengubahsuaian.


Berdasarkan kepada reaksi positif harga saham terhadap cadangan IGB mahu melakukan suntikan aset Mid Valley Southkey, firma itu menurunkan saranan ke atas IGB daripada 'beli' kepada 'neutral' 


Bagaimanapun ia menetapkan harga sasaran (TP) tidak berubah kepada RM2.95 sesaham, bersandarkan diskaun 10% kepada nilai buku dan masih mengekalkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2025.


"Kami menjangka prestasi kukuh dalam sektor runcit dan komersial akan terus menyokong keuntungan ke atas kumpulan untuk baki sepanjang tahun ini," kata PublicInvest. - DagangNews.com