Sebahagian eksport semikonduktor Malaysia mungkin layak dikecualikan tarif 100% AS - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sebahagian eksport semikonduktor Malaysia mungkin layak dikecualikan tarif 100% AS - CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Ogos — Sebahagian daripada eksport semikonduktor Malaysia kemungkinan besar layak menerima pengecualian tarif 100 peratus Amerika Syarikat (AS) ke atas cip diimport, kata CIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keyakinan tersebut berdasarkan kepada kehadiran banyak firma AS dan syarikat multinasional (MNC) yang bergantung dengan rantaian bekalan cip daripada Malaysia .

 

Pada masa yang sama tambahnya, syarikat-syarikat sektor teknologi berkenaan telah dikenal pasti mempunyai perbelanjaan modal besar secara berterusan atau memang sudah dirancang di AS sendiri.

 

"Eksport produk ini, bersama-sama dengan sebahagian daripada 35 peratus dikeluarkan firma yang memiliki gabungan AS, mungkin masih layak ada pengecualian," kata CIMB Securities dalam notanya.

 

Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, 65 peratus daripada eksport semikonduktor Malaysia ke AS berasal daripada syarikat AS sendiri.

 

Ia susulan ancaman Presiden AS, Donald Trump untuk mengenakan tarif import penuh 100 peratus ke atas semikonduktor, dengan pengecualian kepada syarikat memindahkan semula pengeluarannya ke AS.

 

Mengulas lanjut, CIMB Securities berkata, walaupun tarif utama itu adalah bersifat agresif, mekanisme pengecualian mungkin melindungi sebahagian daripada sektor semikonduktor Malaysia.

 

"Ini memandangkan kehadiran ketara banyak syarikat AS yang beroperasi dalam rantaian bekalan domestik, manakala MNC yang lain ketika ini turut beroperasi di Malaysia dan AS," tambahnya.

 

Bagaimanapun katanya, jika pelaksanaan tarif lebih teruk daripada kes asas pengecualian 65%, setiap tambahan 10% daripada eksport semikonduktor yang terjejas memberi kesan secara luas.

 

Ini termasuk seretan 0.29 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan dalam jangka pendek, AS mungkin perlu memperakui impak kerumitan rantaian bekalan semikonduktor global.

 

Justeru tambah CIMB Securities, negara berkenaan perlu melaksanakan program penempatan semula pengeluaran syarikat terbabit di seluruh dunia yang sudah tentunya akan mengambil masa agak lama.

 

"Kami juga percaya bahawa pentadbiran AS akan mengambil berat mengenai potensi tarif baharu ini yang sekiranya dinaikkan ke atas kesan pendapatan korporat dan harga pengguna nanti," katanya.

 

Bagaimanapun, dalam jangka panjang, ia tidak menolak syarikat itu mungkin terpaksa memindahkan operasi pengeluaran, yang berpotensi memberi kesan kepada keputusan pelaburan pada masa hadapan.

 

CIMB Securities berkata, Malaysia mengeksport produk semikonduktor bernilai RM437.5 bilion ke seluruh dunia pada 2024, dengan RM56.2 bilion daripadanya dijual kepada AS. - DagangNews.com