KUALA LUMPUR 2 Sept – SDS Group Berhad diramal mampu mencatat prestasi kewangan yang lebih kukuh pada tempoh suku-suku akan datang, menurut Public Investment Bank (PublicInvest).
Firma penyelidikan berkenaan berkata, sentimen itu disokong oleh permintaan stabil terhadap produk roti serta lonjakan perbelanjaan sempena musim perayaan seperti Pesta Kuih Bulan dan Krismas.
Keyakinan positif tersebut menyebabkan firma berkenaan terus mengekalkan saranan ‘outperform’ ke atas kumpulan itu dengan harga sasaran yang juga tidak berubah kepada 88 sen sesaham.
Tambahnya, walaupun keuntungan bersih teras bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) turun 19.4% tahun ke tahun (YoY) kepada RM7 juta, prestasi itu masih selari dengan jangkaan mereka.
“Penurunan keuntungan ini lebih bersifat sementara, ekoran peningkatan kos jualan dan pengedaran berikutan pelaksanaan pengembangan armada SDS," kata PublicInvest dalam nota kajiannya.
Pertambahan bilangan daripada 300 kepada 340 trak itu tambahnya, hasil pemerolehan dari pesaing sebelum ini namun langkah tersebut dilihat sebagai pelaburan strategik jangka panjang.
SDS tambah firma tersebut, mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 2.2% YoY kepada RM84.8 juta, dipacu oleh segmen borong yang berkembang selaras dengan perluasan titik pengedaran.
Segmen runcit pula kata PublicInvest, didapati merosot sedikit sebanyak 2.4% YoY, dipercayai akibat sentimen pengguna yang mungkin lebih berhati-hati dalam perbelanjaan harian.
"Menariknya, secara suku ke suku (QoQ), keuntungan bersih teras SDS meningkat 22%, didorong pengukuhan margin keuntungan kasar sebanyak satu mata peratusan kepada 33.2%," katanya.
Situasi itu susulan penurunan harga bahan mentah utama seperti gandum dan firma tersebut melihat SDS masih kekal sebagai salah satu kaunter pengguna paling berdaya tahan di pasaran.
Keadaan positif tersebut tambahnya, berikutan permintaan kukuh terhadap makanan asas seperti roti dan kek, selain permintaan bermusim yang dijangka meningkat menjelang hujung tahun.
“Dengan perbelanjaan pengguna rancak sempena perayaan besar seperti Pesta Kuih Bulan dan Krismas, kami melihat SDS mampu mencatat lonjakan hasil dalam separuh kedua tahun kewangan,” katanya.
PublicInvest turut menjangkakan pengukuhan ringgit serta penurunan harga bahan mentah seperti gandum dan gula akan terus menyokong pengembangan margin SDS dalam tempoh mendatang.
Tambahan pula, SDS berada dalam kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada peningkatan aktiviti rentas sempadan menerusi inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“SDS berpotensi menjadi antara penerima manfaat utama inisiatif ini, memandangkan operasinya berpusat di Johor dan jaringan edaran yang semakin meluas,” jelas firma itu lagi. - DagangNews.com








