SD Guthrie, Permodalan Darul Ta'zim teroka bangunkan 2,023 hektar tanah di JS-SEZ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SD Guthrie, Permodalan Darul Ta'zim teroka bangunkan 2,023 hektar tanah di JS-SEZ

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 DisSD Guthrie Berhad dan Permodalan Darul Ta’zim Sdn Bhd (PDT) menilai potensi pembangunan 2,023 hektar tanah yang terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).


Kerjasama terbaharu itu susulan pemeteraian Memorandum Penerokaan Perniagaan (MoBE) melibatkan tanah milik Guthrie di Ladang Kulai yang mewujudkan rangka kerja ke arah perjanjian muktamad.


Langkan berkenaan meliputi pelbagai aspek utama seperti pembangunan tanah, perancangan prasarana, pematuhan peraturan, penstrukturan kewangan serta integrasi teknologi secara mampan dan pintar.


Ia merupakan perkongsian kali yang kedua antara Guthrie dan PDT, susulan pengumuman sebelum ini mengenai projek pembangunan taman perindustrian bersepadu berkeluasan 378.8 hektar di Kulai.


Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata usaha bersama ini menggabungkan kekuatan bank tanah Guthrie dengan kepakaran pelaburan strategik daripada PDT.


"Kami membangunkan ekosistem perindustrian bertaraf dunia, sejajar dengan aspirasi Johor untuk menarik sektor berimpak tinggi dan memacu pertumbuhan ekonomi mampan," jelasnya dalam kenyataan.


Syarikat itu telah lama beroperasi di Johor melalui ladang kelapa sawit, kilang dan penapisan, serta komited menyumbang kepada pembangunan mampan dan kesejahteraan kepada komuniti setempat.


Beliau menegaskan pembangunan strategik bank tanah dalam JS-SEZ akan mewujudkan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan serta menyokong agenda pembangunan negeri dan negara.


Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PDT, Datuk Ramlee A Rahman pula berkata kerjasama tersebut mencerminkan komitmen PDT untuk memacu pertumbuhan ekonomi Johor.


"Melalui perkongsian strategik, kami berhasrat menarik ramai pelabur antarabangsa dan merangsang inovasi mampan kerana JS-SEZ merupakan inisiatif bersama dua negara berjiran," tambah beliau.


Katanya lagi, zon berkenaan, merangkumi koridor ekonomi seluas 3,500 kilometer persegi meliputi kawasan yang strategik termasuk Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Pontian, Kulai dan Pengerang.


Zon ini disokong jaringan infrastruktur bertaraf dunia seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai yang menjadikan Johor pintu masuk strategik ke pasaran ASEAN.


Pembangunan Parcel F dalam JS-SEZ dijangka menyokong pelbagai aktiviti ekonomi merangkumi pembuatan, perkhidmatan termaju dan sektor baharu seperti ekonomi digital. - DagangNews.com