KUALA LUMPUR 28 April – SD Guthrie Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) bagi meneroka pembangunan bersepadu di Pulau Carey melibatkan kawasan minimum 2,500 ekar (1,011 hektar).
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berkata pembangunan tersebut berpotensi diperluaskan sehingga 5,000 ekar (2,023 hektar) di Estet Pulau Carey, tertakluk kepada kajian kebolehlaksanaan dan pelan induk yang akan dilaksanakan.
Menurut kenyataan itu, projek berkenaan akan menjadi komponen penting kepada cadangan Pelabuhan Pulau Carey sebagai sebahagian daripada inisiatif Pelabuhan Ketiga dalam Zon Ekonomi Khas (SEZ) Pulau Carey.
“Ia dijangka mengukuhkan kedudukan SEZ sebagai hab ekonomi pemangkin yang mampu menjana aktiviti ekonomi bernilai tinggi di Pulau Carey serta menyokong pertumbuhan Selangor Selatan,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie, Mohd Haris Mohd Arshad berkata kerjasama itu membuka peluang strategik kepada syarikat untuk terlibat dalam fasa pertumbuhan ekonomi baharu negeri.
Menurut beliau, pembangunan tersebut akan dilaksanakan secara mampan selaras dengan rangka kerja “Beyond Zero”, dengan penekanan kepada pemeliharaan biodiversiti dan kesejahteraan komuniti setempat.
“Pendekatan pembangunan yang strategik dan mampan amat penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi tanpa menjejaskan nilai industri perladangan serta warisan unik Pulau Carey,” katanya.
Beliau menambah, pembangunan itu turut mencerminkan bagaimana pengurusan tanah secara berhemah mampu membuka potensi ekonomi sambil mengekalkan keseimbangan alam sekitar dan sosial.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Saipolyazan M. Yusop berkata kerjasama tersebut selari dengan komitmen pihaknya sebagai cabang pelaburan negeri dalam memacu pembangunan strategik.
Katanya, projek itu dijangka memperkukuh kesalinghubungan infrastruktur termasuk jalan raya dan utiliti, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan aktiviti ekonomi baharu dalam SEZ berkenaan.
Kerjasama ini dilihat sebagai langkah penting dalam mempercepat pembangunan Pulau Carey sebagai hab ekonomi baharu yang berdaya saing di peringkat serantau. - DagangNews.com








