KUALA LUMPUR 11 Mac — Scientex Packaging (Ayer Keroh) Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM9.35 juta pada suku kedua berakhir 31 Januari 2025 (2QFY25), meningkat daripada RM8.02 juta direkodkan setahun sebelumnya.
Pengeluar pembungkusan plastik itu turut melaporkan peningkatan pendapatan sesaham sebanyak 2.66 sen berbanding 2.28 sen sebelumnya dengan hasil kumpulan tersebut RM183.87 juta, meningkat daripada RM175.85 juta pada 2QFY24.
Bagaimanapun ia membayangkan prospek pasaran global adalah kekal mencabar tetapi masih lagi komited untuk meningkatkan daya saingnya dan berhasrat memacu prestasi yang lebih mampan dalam tahun kewangan semasa.
"Peningkatan pendapatan terutamanya disebabkan oleh faktor jualan yang lebih tinggi dalam pasaran eksportnya yang menyumbang sebanyak RM81.62 juta atau 44.4 peratus daripada hasil kumpulan," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara jualan dalam pasaran domestik pula menyumbang baki sebanyak RM102.25 juta atau 55.6 peratus daripada hasil pendapatan kumpulan berkenaan.
Campuran jualan yang lebih baik dan kecekapan operasi yang lebih baik turut menyumbang kepada prestasi bagi suku yang dikaji itu," tambah kenyataan tersebut.
Dalam tempoh enam bulan, Scientex Packaging mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM12.25 juta berbanding RM15.72 juta pada 1HFY24 berikutan kesan negatif akibat kerugian pertukaran mata wang asing.
Pendapatan kumpulan itu, bagaimanapun, meningkat kepada sebanyak RM363.16 juta daripada RM348.82 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya. - DagangNews.com








