SCIB masih teruskan tuntutan RM19.72 juta daripada Awana | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SCIB masih teruskan tuntutan RM19.72 juta daripada Awana

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 April - Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) memaklumkan pemberhentian tindakan berasingan tidak menggambarkan penarikan balik atau pengabaian tuntutan anak syarikatnya, SCIB Properties Sdn Bhd terhadap Awana JV Suria Saga Sdn Bhd.
 

Sebaliknya, SCIB mengesahkan proses itu merupakan pendekatan undang-undang secara strategik untuk syarikat berkenaan dapat meneruskan perkara tuntutan tersebut dengan lebih berkesan di bawah hanya satu saman yang telah disatukan.


Pengarah Urusan SCIB, Ku ​​Chong Hong berkata, pihaknya memberi jaminan kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan syarikat itu bahawa SCIB masih lagi kekal komited sepenuhnya untuk mendapatkan semula sebanyak RM19.72 juta daripada Awana.


"Penyatuan tuntutan kepada satu tindakan undang-undang adalah prosedur yang membolehkan kami meneruskan hak dengan lebih cekap dan dengan keseriusan kedudukan SCIB untuk bertindak demi kepentingan terbaik syarikat," katanya dalam satu kenyataan.


Penjelasan tersebut dikeluarkan sebagai maklum balas kepada kekeliruan beberapa laporan media tempatan bertarikh 23 April 2025 mengenai pemberhentian saman undang-undang yang melibatkan kes tuntutan SCIB Properties terhadap Awana.


SCIB yang merupakan pakar dalam sistem bangunan perindustrian berkata, ia bukan bermaksud telah menarik balik sepenuhnya tuntutan tetapi mengesahkan bahawa pelepasan undang-undang yang sebelum ini diminta di bawah saman berasingan telah disatukan.


Penyata tuntutan kata kenyataan itu, telah dipinda dan difailkan pada 18 April 2025 dengan menyepadukan tuntutan pemulihan RM19.72 juta ke dalam saman utama untuk menyelaraskan prosiding serta memudahkan proses litigasi yang lebih cekap.


Justeru katanya, SCIB kekal komited untuk menegakkan hak undang-undangnya dan akan terus bertindak demi kepentingan terbaik syarikat serta para pemegang sahamnya selain memastikan segala ketelusan sepanjang proses tuntutan berkenaan. 


"Lembaga Pengarah juga memberi jaminan bahawa ia akan melaporkan kemas kini secara tepat pada masa mengenai sebarang perkembangan material yang berkaitan dengan perkara ini," kata kenyataan tersebut. - DagangNews.com