SCIB lantik Chong Loong Men sebagai Pengerusi Eksekutif dalam rombakan kecil lembaga pengarah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SCIB lantik Chong Loong Men sebagai Pengerusi Eksekutif dalam rombakan kecil lembaga pengarah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Jun — Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) melantik Datuk Chong Loong Men sebagai Pengerusi Eksekutif SCIB yang baharu dalam rombakan kecil lembaga pengarahnya hari ini.


Langkah berkenaan tambahnya, dilaksanakan untuk memperkukuh tadbir urus korporat, serta meningkatkan tahap kepimpinan secara mendalam, dan menyokong inisiatif pertumbuhan strategik syarikat tersebut.


Kumpulan itu turut mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Seri Zaini Jass, serta tiga orang Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Kang Wei Luen, Ooi Hoot Kuang, dan Ng Cheng Shin.


"SCIB merakamkan ucapan terima kasih tulus kepada mereka atas segala sumbangan dan perkhidmatan penuh dedikasi sepanjang tempoh perkhidmatan itu," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Loong Men tambahnya, dijangka membawa pengalaman perundangan dan kawal selia, setelah memulakan kerjaya Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara sebelum beralih kepada sektor swasta.


Beliau mengasaskan bersama firma guaman terkemuka dan pernah bertugas dalam lembaga pengarah di pelbagai syarikat senaraian awam, serta membawa pandangan berharga mengenai isu tadbir urus korporat.


SCIB juga melantik Tan Li Peng sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dengan pakar undang-undang korporat lebih 15 tahun pengalaman itu kini berkhidmat sebagai rakan kongsi di Tetuan Loh Poh Seng & Co.


Turut dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif ialah Leow Wey Seng dengan latar belakang profesional termasuk di firma pengauditan antarabangsa Deloitte yang beribu pejabat di London, Britain.


Beliau diyakini memiliki peranan kepimpinan semasa dalam perniagaan milik keluarga serta perdagangan getah, dan menawarkan pandangan mendalam mengenai strategi korporat selain pengurusan operasi.


Mengulas mengenai rombakan itu, Loong Men berkata yang beliau berbesar hati dan teruja untuk menerajui SCIB sambil terus membina asas kukuh yang diletakkan oleh ramai bekas anggota lembaga pengarah.


"Saya berterima kasih kepada mereka atas sumbangan penting semasa fasa kritikal pertumbuhan SCIB serta dengan pelbagai kepakaran dan pandangan strategik pengarah baharu kami yang dilantik," katanya.


Selain itu, beliau yakin dengan keupayaan pasukannya memacu pertumbuhan mampan dan mengukuhkan struktur tadbir urus untuk menyampaikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham SCIB. - DagangNews.com