SCIB dapat injunksi terhadap Awana JV Suria Saga berhubung kes pembiayaan RM63.9 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SCIB dapat injunksi terhadap Awana JV Suria Saga berhubung kes pembiayaan RM63.9 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 April — Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) berjaya mendapatkan perintah injunksi interlokutori terhadap Awana JV Suria Saga Sdn Bhd berhubung litigasi material yang melibatkan anak syarikat milik penuhnya, SCIB Properties Sdn Bhd (SCIBP).


SCIB berkata, Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam telah membenarkan perintah tersebut untuk menghalang Awana daripada terus menggunakan Kemudahan Pembiayaan Islam sebanyak RM63.9 juta, yang diberikan oleh MBSB Bank Bank Berhad.


Ia meliputi sekatan terhadap Pembiayaan Bertempoh Sedia Ada-I 1, Pembiayaan Bertempoh Sedia Ada-I 2 dan Pembiayaan Bridging-I. SCIB merupakan pakar dalam sistem bangunan perindustrian yang ditubuhkan pada 1975.


Pengarah Urusan SCIB, Ku Chong Hong berkata, injunksi tersebut mencerminkan keseriusan mengenai perkara berkenaan dan tanggungjawab SCIB dalam melindungi kepentingan kewangan serta reputasinya.


"Adalah penting bagi Awana kini mengambil langkah dengan penyelesaian yang jelas dan berdaya maju untuk dapat memajukan projek itu demi kepentingan orang ramai," katanya dalam satu kenyataan SCIB.


Sebelum ini, syarikat itu telah memeterai penyelesaian merangkap perjanjian pelantikan kontraktor atau SA 2024 dengan Awana bagi pelaksanaan projek rumah mampu milik bernilai RM162 juta di bawah skim Program Perumahan Penjawat Awam.


Bagaimanapun, Awana gagal memenuhi syarat-syarat yang diperlukan di bawah perjanjian tersebut dan kemudian didapati melakukan pengeluaran tanpa kebenaran berjumlah RM1.65 juta daripada kemudahan pembiayaan tanpa kebenaran SCIB.


Sebagai tindak balas, SCIBP memulakan tindakan undang-undang pada 5 Februari 2025 terhadap Awana dan MBSB, bertujuan untuk mengeluarkan SCIB sebagai penjamin korporat serta bagi mengelakkan pengeluaran selanjutnya.


"Proses ini berakhir dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 April 2025 yang memberikan injunksi interlokutori," kata kenyataan tersebut.


Langkah itu katanya, bukan sahaja mengesahkan kedudukan SCIB tetapi menimbulkan kebimbangan berterusan mengenai keupayaan Awana melaksanakan projek, yang bertujuan memberi perkhidmatan kepada penjawat awam di bawah agenda rumah mampu milik kerajaan.


Mahkamah Tinggi kemudiannya kata kenyataan SCIB, telah menetapkan 16 Mei 2025 untuk tarikh pengurusan kes yang seterusnya. Syarikat berkenaan diwakili oleh Eric Tan dari Tetuan Ong Kok Bin & Co.


"SCIB akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan menyediakan kemas kini secara tepat pada masanya kepada semua pihak berkepentingan mengikut kesesuaian," katanya. - DagangNews.com