SC perkenal Panduan Pendedahan Batik Lestari, perkasa kraf tempatan melalui amalan ESG | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SC perkenal Panduan Pendedahan Batik Lestari, perkasa kraf tempatan melalui amalan ESG

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 7 NovSuruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melalui anak syarikatnya, Capital Markets Malaysia (CMM) hari ini melancarkan Panduan Pendedahan Batik Lestari, satu inisiatif baharu bagi memperkasa penggiat industri batik tempatan untuk melaksanakan dan mendedahkan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan lebih mudah dan sistematik.

 


SC dalam kenyataan hari ini berkata, SBDG merupakan alat praktikal yang membantu penggiat, usahawan dan pengeluar batik membuat pendedahan data serta amalan kelestarian mereka secara telus, sekali gus meningkatkan daya saing industri batik di pasaran tempatan dan antarabangsa.

 


Pengenalan panduan tersebut bersempena Festival Batik Lestari 2025, acara tahunan anjuran SC yang meraikan warisan seni batik negara dan menggalakkan pertumbuhan pasaran yang lebih inklusif serta mampan, khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 


Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen jangka panjang SC terhadap pertumbuhan mampan dan inklusif, seiring aspirasi negara untuk memperkukuh sektor kreatif berasaskan nilai lestari.

 


“SBDG ialah alat praktikal yang membolehkan sektor batik Malaysia membezakan diri melalui kelestarian, meningkatkan akses pasaran dan memelihara warisan budaya, sambil memenuhi jangkaan pembeli, pelabur dan pengawal selia tempatan serta global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 


Beliau berkata, panduan itu disusun bagi memastikan pendedahan ESG dalam sektor batik sejajar dengan piawaian tempatan dan antarabangsa, merangkumi 34 elemen utama pendedahan yang boleh digunakan oleh penggiat pada tahap berbeza iaitu Asas, Pertengahan dan Lanjutan, bergantung kepada kematangan dan keupayaan masing-masing dalam pelaksanaan kelestarian.

 


Menurut SC, SBDG dibangunkan berasaskan Simplified ESG Disclosure Guide for SMEs in Supply Chains (SEDG) yang diperkenalkan CMM pada tahun 2023, dan kini diperluas khusus untuk menyokong PMKS dalam industri batik yang unik dari segi teknik pencelupan tradisional, sumber tekstil serta pengeluaran berasaskan komuniti.

 


“Panduan ini memberi langkah-langkah praktikal untuk penggiat industri batik mengamalkan amalan bertanggungjawab tanpa menjejaskan nilai seni dan warisan tempatan,” menurut SC lagi.

 


Sementara itu, bersempena Festival Batik Lestari 2025 yang berlangsung seiring dengan Persidangan Antarabangsa ASEAN Capital Markets Forum (ACMF), SC turut mempamerkan kekuatan budaya dan kreatif Malaysia kepada wakil serantau serta delegasi antarabangsa.

 


Dalam perkembangan berkaitan, SC dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mempromosikan industri batik tempatan melalui kerjasama dalam bidang pembangunan kapasiti, kelestarian, penjenamaan dan promosi.

 


MoU berkenaan ditandatangani oleh Pengarah Urusan SC, Datin Paduka Azalina Adham, dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Ramli, yang bertujuan memperkasa penggiat batik untuk mengadaptasi amalan ESG, meningkatkan daya saing pasaran serta memperkukuh identiti batik Malaysia di peringkat global.

 


Untuk maklumat lanjut mengenai panduan tersebut, orang ramai boleh melayari laman rasmi SC di https://www.sc.com.my/resources/publications-andresearch/sustainable-batik-disclosure-guide - DagangNews.com