Betamek kini miliki kelebihan sebagai Gudang Pengilangan Berlesen dan Pusat Perolehan Antarabangsa menerusi penubuhan Sanshin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Betamek kini miliki kelebihan sebagai Gudang Pengilangan Berlesen dan Pusat Perolehan Antarabangsa menerusi penubuhan Sanshin

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Jun - Betamek Berhad akan menggunakan kelebihan sebagai Gudang Pengilangan Berlesen (LMW) dan Pusat Perolehan Antarabangsa (IPC) yang dimilikinya Betamek Sanshin Sdn Bhd (Sanshin) untuk pengembangan syarikat di masa depan.

 

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, status LMW dan IPC akan membolehkan Betamek menawarkan rumusan komprehensif kepada pelanggan yang memerlukan perkhidmatan pembuatan rentas sempadan, perolehan bahan dan pengedaran produk di peringkat serantau.

 

“Keupayaan ini membolehkan proses import dan eksport dilaksanakan dengan lebih cekap, meningkatkan fleksibiliti rantaian bekalan serta menyokong syarikat yang ingin mewujudkan atau memperluaskan operasi mereka di Malaysia dan rantau ASEAN,” kata kenyataan itu sempena pelancaran awal Sanshin.

 

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Pengarah Urusan Betamek, Mirzan Mahathir bersama Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Shenzhen Zhonghong Technology Co. Ltd., Su Jun.

 

Betamek berkata, penubuhan Sanshin mencerminkan komitmen syarikat untuk memperkukuh hubungan dengan pelanggan dan rakan strategik, selain membuka peluang perniagaan baharu ketika Malaysia terus menjadi destinasi pilihan syarikat antarabangsa yang ingin mengembangkan operasi di Asia Tenggara.

 

Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, pelancaran Sanshin merupakan langkah penting dalam usaha syarikat memperkukuh penglibatan dengan pelanggan, rakan perniagaan dan pelawat antarabangsa.

 

“Dengan keupayaan LMW dan IPC yang tersedia, kami berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong syarikat yang memerlukan penyelesaian pembuatan rentas sempadan, perolehan dan pengedaran serantau yang cekap.

 

“Ketika semakin banyak perniagaan melihat Malaysia sebagai pintu masuk ke ASEAN, Sanshin menyediakan platform kukuh untuk memudah cara perbincangan yang bermakna, memacu kerjasama operasi serta membina perkongsian jangka panjang,” katanya. - DagangNews.com