SC Estate Builder catat untung bersih RM1.64 juta bagi tempoh 18 bulan dipacu penjualan tanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SC Estate Builder catat untung bersih RM1.64 juta bagi tempoh 18 bulan dipacu penjualan tanah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 1 AprilSC Estate Builder Berhad berjaya mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.638 juta bagi tempoh kumulatif selama 18 bulan yang berakhir pada 31 Januari 2026.


Menurut kumpulan tersebut, prestasi positif berkenaan didorong terutamanya oleh keuntungan daripada aktiviti penjualan tanah bagi pembangunan hartanah serta aktiviti perdagangan bahan binaan.


Berdasarkan maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat tersebut melaporkan pendapatan secara keseluruhan yang mencecah sebanyak RM35.67 juta bagi tempoh 18 bulan tersebut.


"Bagaimanapun, bagi suku keenam berakhir pada tarikh sama, SC Estate Builder merekodkan kerugian bersih sebanyak RM1.97 juta, akibat hasil yang lebih rendah iaitu RM3.26 juta," katanya.


Pendapatan itu kecil daripada RM7.62 juta pada suku sebelumnya yang berakhir 31 Oktober 2025, dan mengalami kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM2.63 juta pada suku tinjauan berkenaan.


Sebagai perbandingan jelasnya lagi, syarikat pembinaan tersebut pernah mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) kira-kira RM0.536 juta pada suku yang terdahulu.

 

SC Estate Builder_DagangNews


SC Estate Builder mengubah akhir tahun kewangannya daripada 31 Julai kepada 31 Januari, menyebabkan tiada maklumat kewangan perbandingan bagi rujukan tempoh yang sama untuk tahun sebelumnya.


Mengulas mengenai prospek masa depan, kumpulan sedang giat mempelbagaikan portfolio perniagaannya termasuk cadangan pengambilalihan 25% kepentingan ekuiti dalam Sentosa Club Hotel Sdn Bhd.


"Langkah pembelian yang bernilai RM18.79 juta itu, bertujuan untuk mengukuhkan potensi pendapatan jangka panjang syarikat berkenaan dalam sektor pelaburan hartanah pula," tambahnya.


Selain itu ujarnya, SC Estate Builder terus komited dalam pelbagai inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui penyertaan dalam program solar berskala besar (LSS).


Ini termasuk sasaran pembinaan sehingga 3,000 unit rumah mampu milik yang sudah dilengkapi panel solar, dan kumpulan berkenaan juga optimis terhadap prospek masa depan.


Antaranya tumpuan kepada perniagaan perkhidmatan rumusan tenaga boleh diperbaharui (RE) dan projek pembinaan infrastruktur bagi menambah baik prestasi kewangan syarikat. - DagangNews.com