SC dakwa bekas pegawai CIMB Investment tipu pelabur RM808,000 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SC dakwa bekas pegawai CIMB Investment tipu pelabur RM808,000

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Mac — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendakwa Lau Min Thung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan berkaitan penipuan sekuriti dan pengubahan wang haram.
 

Bekas Ketua Urusan di CIMB Investment Bank, Melaka itu didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana menipu tiga pelabur untuk mendepositkan wang berjumlah RM808,000 dalam pelaburan bon rekaan.

 

Beliau sebaliknya menggunakan wang pelabur tersebut untuk membeli saham dalam akaun dagangan milik individu lain yang tidak berkaitan dengan pelabur berkenaan dengan kesalahan itu dilakukannya antara Februari 2013 dan April 2014.

 


"Jika disabitkan kesalahan di mahkamah, Min Thung, 43, berdepan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta," kata SC dalam satu kenyataan.


Dalam kes berasingan, beliau turut menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) kerana terlibat kes pengubahan wang haram dalam tempoh yang sama.


Kesalahan ini kata SC, boleh membawa kepada hukuman denda maksimum sebanyak RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.


Kenyataan itu berkata, kesemua enam pertuduhan tersebut dibicarakan di dua mahkamah yang berasingan dan Lau dibenarkan ikat jamin sebanyak RM200,000 secara keseluruhan.


Bagi pertuduhan kes di bawah CMSA, Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Husin membenarkan beliau diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin sahaja. 


"Tertuduh juga diperintahkan untuk menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC pada setiap bulan," kata SC.


Bagi pertuduhan di bawah AMLATFA, Hakim Mahkamah Sesyen, Norma Ismail membenarkan Min Thung diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.


Mahkamah tersebut, kata kenyataan SC, turut mengenakan syarat jaminan tambahan yang sama seperti mahkamah terdahulu.


SC dalam pada itu, mengingatkan pelabur supaya berhati-hati sebelum melaburkan wang mereka dan apabila mempertimbangkan peluang pelaburan tertentu. - DagangNews.com