KUALA LUMPUR 3 April – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam usaha mengurangkan dan mencegah penipuan, termasuk penipuan dalam talian dan skim pelaburan palsu.
Kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang serta memperkukuh langkah pencegahan terhadap penipuan yang semakin kompleks di era digital.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan MoU itu turut menekankan kepentingan melindungi pelabur dan orang awam daripada risiko kewangan yang berpunca daripada aktiviti penipuan.
“MoU tersebut menekankan komitmen bersama kedua-dua agensi untuk menangani ancaman penipuan dalam talian serta skim pelaburan tidak berlesen yang menyalahgunakan teknologi komunikasi dan platform digital.
“Salah satu fokus utama kerjasama ialah dengan memanfaatkan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan, bagi meningkatkan kecekapan pengesanan, penyiasatan dan penguatkuasaan. Langkah ini dijangka mempercepatkan tindakan terhadap aktiviti penipuan.
“Kerjasama ini juga sejajar dengan perluasan bidang kuasa Pusat Respons Penipuan Kebangsaan, bagi memastikan perlindungan lebih menyeluruh kepada masyarakat daripada penipuan digital dan pelaburan tidak berlesen,” menurut kenyataan itu.


Majlis pemeteraian MoU tersebut berlangsung di ibu pejabat SC dan disaksikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, serta Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.
MoU itu ditandatangani oleh Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi dan dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Pada tahun 2024 dan 2025, SC dengan bantuan MCMC telah menyekat atau menggantung 328 laman web, 388 akaun Telegram dan 60 nombor telefon berkaitan penipuan, menunjukkan peningkatan penguatkuasaan terhadap ancaman digital.
Sementara itu, Mohammad Faiz berkata MoU ini menunjukkan dedikasi SC dalam melindungi kepentingan pelabur serta mengekalkan integriti pasaran. “Usaha ini penting bagi memberi tindak balas lebih berkesan terhadap ancaman penipuan yang muncul.
“Gabungan kepakaran SC dan MCMC dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai penipuan kewangan dan pelaburan tanpa lesen, selain memperkukuh perlindungan terhadap pelabur runcit dan orang awam,” katanya.

Sementara itu, MCMC menekankan kepentingan kerjasama operasi untuk memastikan persekitaran digital yang lebih selamat bagi rakyat Malaysia. MoU ini mencerminkan komitmen berterusan agensi itu dalam menangani isu penipuan dalam talian.
Dengan penipuan digital yang semakin berkembang dari segi skala dan kecanggihan, MCMC menyatakan bahawa penyelarasan antara agensi merupakan elemen penting dalam memastikan keberkesanan tindakan penguatkuasaan.
Kerjasama ini juga merangkumi perkongsian risikan, pembangunan Prosedur Operasi Standard, serta pembinaan kapasiti dalam siasatan dan protokol penguatkuasaan yang diselaraskan antara kedua-dua agensi. - DagangNews.com








