KUALA LUMPUR 23 Dis - SBS Nexus Berhad menyasarkan dana tambahan RM30.6 juta melalui penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga tawaran awam permulaan (IPO) 25 sen sesaham.
Menurut prospektus syarikat pemasaran dan penjenamaan itu hari ini, penyenaraian dijadualkan pada 20 Januari 2026 dijangka memberi nilai pasaran sebanyak RM122.5 juta kepada kumpulan tersebut.
Permohonan IPO akan ditutup pada 7 Januari 2026, dan SBS Nexus merancang menggunakan 23.2% hasil daripada penyenaraian berkenaan untuk membuka sebuah ibu pejabat baharu dalam masa yang terdekat.
"Selain itu, syarikat ini akan memperluaskan perniagaan ke pasaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berbahasa Melayu sebanyak 23.7%, selain membayar pinjaman kira-kira 19.6%," katanya lagi.
Di samping itu jelas kumpulan tersebut, dana tambahan daripada proses IPO berkenaan akan diguna untuk menampung segala perbelanjaan pemasaran, modal kerja serta kos penyenaraian di bursa.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wong Chun Mun berkata, pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan SBS Nexus sejajar dengan trend pengguna dan permintaan pasaran yang sentiasa berubah.
Langkah berkenaan tambah beliau, dijangka mampu menyokong usaha pertumbuhan secara berterusan kepada operasi kumpulan tersebut dalam tempoh sederhana dan panjang secara lebih mampan.
"Kami kini mempunyai enam anak syarikat milik penuh dan terlibat dalam perkhidmatan pemasaran serta penjenamaan termasuk penciptaan kandungan dan iklan papan iklan digital," kata beliau.
Daripada 122.5 juta saham awam, 24.5 juta saham ditawarkan kepada orang awam, 17.15 juta saham kepada individu layak, manakala 61.25 juta saham diperuntukkan untuk pelabur Bumiputera.
Selain itu, 49 juta saham sedia ada bernilai RM12.25 juta, mewakili 10% pegangan, akan dijual oleh Ketua Pegawai Operasi Warren Cheng, Ketua Digital Lai Kian Chuan dan Ketua Perniagaan Lim Cheng Yong.
Selepas penyenaraian, Chun Mun kekal sebagai pemegang saham terbesar dengan ekuiti 30% berbanding 40% sebelum ini, manakala Pengarah Eksekutif Piah Yee Ling menjadi pemegang saham kedua terbesar.
M&A Securities Sdn Bhd dilantik oleh SBS Nexus pada 25 November 2025 untuk berperanan sebagai penasihat tunggal, penaja, penjamin dan ejen penempatan IPO berkenaan. - DagangNews.com








