KUALA LUMPUR 6 Jan – Malacca Securities menekankan SBS Nexus Berhad perlu mengelakkan risiko kekurangan kontrak jangka panjang, menjelang penyenaraian di Pasaran ACE pada 20 Januari 2026.
Firma penyelidikan tersebut menambah, masalah berkenaan perlu dielakkan kumpulan itu memandangkan sebahagian besar perkhidmatan yang ditawarkan secara projek dan atas keperluan tertentu sahaja.
Berdasarkan cabaran itu, ia menilai wajar saham syarikat berkenaan sebanyak 34 sen sesaham, dengan andaian potensi kenaikan 36% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) hanya kira-kira 25 sen.
"SBS Nexus wajar menambah kontrak bukan jangka pendek dengan menyasarkan usahawan tertentu selain korporat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," jelas Malacca Securities dalam notanya.
Sekiranya masalah tersebut dapat ditangani, firma itu menjangka keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) mampu mencapai antara RM8.8 juta hingga RM13.0 juta dalam tiga tahun.
Selain itu, kadar pertumbuhan purata terkumpul (CAGR) kumpulan berkenaan boleh mencatatkan 19.6%, disokong antaranya melalui pendapatan berulang daripada perbelanjaan pemasaran pelanggan sedia ada.
Pada masa sama kata Malacca Securities, kontrak jangka panjang terutama daripada pelanggan baharu diunjur meningkat positif berikutan pengembangan perniagaan dan pemindahan ibu pejabat SBS Nexus.
"Kami menilai penembusan segmen PKS berbahasa Melayu melalui inisiatif MyUsahawanMedia, turut dapat membantu CAGR kumpulan ini, berdaya tahan dalam tempoh lebih lama," kata firma penyelidikan itu.
Ia turut menekankan cabaran besar daripada reputasi jenama ShangHai, serta kebergantungan kepada pengurusan dan bakat utama adalah antara risiko utama yang perlu diurus selepas disenaraikan.
Secara keseluruhan, Malacca Securities menilai SBS Nexus sebagai berpotensi kerana mencatat pertumbuhan CAGR dua tahun sebanyak 60.6%, daripada RM11.6 juta pada FY22 ke RM29.9 juta pada FY24.
Segmen penjenamaan digital jelasnya, menyumbang 57.4% pendapatan FY24, manakala secara luar talian 37.3%, dengan baki 5.3% daripada penganjuran banyak acara tertentu melibatkan pihak ketiga.
"Walaupun hanya menguasai 1% dalam pasaran, kami melihat ia berpotensi memperluas pangkalan pelanggan melalui pendigitalan, dan pelbagai strategi aktif," katanya. - DagangNews.com








