Satu daripada 7 kapal Malaysia terkandas di Selat Hormuz selamat tiba di tanah air - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Satu daripada 7 kapal Malaysia terkandas di Selat Hormuz selamat tiba di tanah air - PM Anwar

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 April - Kapal pertama daripada tujuh kapal milik Malaysia yang terkandas di Selat Hormuz telah selamat tiba di tanah air, dengan sebuah lagi dijangka memasuki perairan tempatan dalam masa terdekat.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus memantau pergerakan baki kapal yang telah mendapat kelulusan untuk merentasi laluan strategik tersebut.

 

“Iran telah meluluskan tujuh kapal tetapi satu daripadanya menghadapi masalah teknikal dan tidak dapat berlepas dari pelabuhan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba di Cyberjaya hari ini.

 

Tujuh kapal berkenaan sebelum ini terkandas di Selat Hormuz susulan konflik antara Iran dan pakatan Amerika Syarikat-Israel yang tercetus pada 28 Februari lalu.

 

Menurut Anwar, kapal-kapal tersebut kini bergerak secara berperingkat melalui laluan perairan strategik itu selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa Iran.

 

Sementara itu ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan pemotongan gaji menteri jika ekonomi semakin mencabar, Anwar tidak menolak kemungkinan itu.

 

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa soal prestasi kekal menjadi keutamaan utama dalam menilai peranan anggota pentadbiran.

 

“Gaji menteri kita agak rendah. Saya tiada masalah, saya tidak mengambil gaji. Gaji adalah hak mereka, selagi mereka menjalankan tugas dengan baik.

 

“Namun, tiada halangan jika keadaan ekonomi menjadi lebih mencabar dan kita mungkin akan menilai semula,” katanya,

 

Ditanya mengenai gesaan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Loh Sze Yee supaya kerajaan meneliti semua syarat pelaburan ke atas syarikat kenderaan elektrik termasuk dari China, Perdana Menteri berkata perkara itu akan diteliti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI).

Katanya, ini bagi memastikan dasar sedia ada kekal menyokong pelaburan. - DagangNews.com