KUALA LUMPUR 13 April – Sasbadi Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sasbadi Sdn Bhd (SSB) dan anak syarikat milik tidak langsung penuh, The Malaya Press Sdn Bhd (TMP), memperoleh lima Surat Penerimaan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menerbit, mencetak dan membekalkan pakej buku teks di bawah Kurikulum Sekolah Baharu 2027.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata jumlah nilai keseluruhan kontrak dianggarkan sebanyak RM17.23 juta, melibatkan pelaksanaan di seluruh negara.
Kontrak berkenaan meliputi tempoh tiga tahun bermula 9 April 2026 hingga 8 April 2029.
Di bawah perjanjian tersebut, SSB memperoleh dua kontrak iaitu bagi subjek Geografi Tingkatan 1 dengan nilai RM7.47 juta serta Matematik Tahun 1 SJKC bernilai RM3.16 juta.
Sementara itu, TMP pula memperoleh tiga kontrak merangkumi Bahasa Cina Tahun 1 SJKC bernilai RM3.08 juta, Pendidikan Jasmani Tahun 1 SJKC bernilai RM2.23 juta serta Bahasa Cina Tingkatan 1 bernilai RM1.28 juta.
Sasbadi berkata, penghantaran fasa pertama di bawah kontrak berkenaan yang dianggarkan bernilai RM13.7 juta dijangka bermula pada Ogos 2026.
“Kontrak-kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026 serta sepanjang tempoh kontrak,” katanya.
Kumpulan itu turut menjelaskan bahawa tiada risiko luar biasa dijangka selain risiko operasi biasa, dan langkah mitigasi akan diambil sekiranya perlu.
Selain itu, tiada pengarah atau pemegang saham utama syarikat yang mempunyai sebarang kepentingan dalam kontrak tersebut.
Lembaga Pengarah Sasbadi berpendapat kontrak yang diperoleh adalah dalam urusan perniagaan biasa serta selaras dengan kepentingan kumpulan. - DagangNews.com








