KUALA LUMPUR 30 Dis - Sasbadi Holdings Berhad mencatatkan prestasi kewangan positif bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2025 dengan lonjakan untung bersih sebanyak 400.68% kepada RM11.05 juta.
Kumpulan penerbitan itu berkata, ia lebih tinggi berbanding hanya RM2.207 juta pada FY24, dengan peningkatan drastik ini didorong terutamanya oleh lonjakan jualan dalam segmen penerbitan cetak.
Bahagian tersebut mendapat manfaat besar daripada Inisiatif Baucar Buku Madani dati 30 Mei 2024 hingga 31 Disember 2024, selain peruntukan hapus kira inventori yang rendah bagi tahun tinjauan.
"Kumpulan mencatatkan hasil lebih RM100 juta buat kali pertama dalam sejarah, dengan keseluruhan RM117.062 juta, naik 29.99% berbanding tahun sebelumnya," maklum Sasbadi kepada Bursa Malaysia.
Segmen cetak kekal sebagai penyumbang utama dengan hasil sebanyak RM109.233 juta, disokong oleh banyak tempahan daripada sekolah bagi sesi akademik 2025 dan pengenalan tajuk-tajuk baharu.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan berkenaan tambahnya, turut didapati meningkat baik kepada RM14.807 juta, iaitu kenaikan sebanyak 397.05% berbanding cuma kira-kira RM2.979 juta pada FY24.
Sehubungan itu, Sasbadi mengisytiharkan jumlah pembayaran dividen sebanyak 0.75 sen sesaham bagi FY25, yang terdiri daripada dividen interim pertama 0.50 sen dan dividen interim kedua 0.25 sen.
"Melangkah ke hadapan pada FY26, kumpulan ini akan memberi fokus yang strategik kepada usaha pembangunan teknologi pendidikan melalui usaha sama dengan Agmo Capital Sdn Bhd," jelasnya lagi.
Langkah itu katanya, melibatkan kerja-kerja pembangunan Model Bahasa Besar (LLM) tempatan yang pertama khusus sektor pendidikan, dan kumpulan juga dilantik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Tambahnya, Sasbadi gembira dipilih sebagai rakan strategik kementerian itu bagi Projek Rintis Bilik Darjah Dikuasakan Kecerdasan Buatan (AI) untuk sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara.
Selain itu, ia menyasarkan pertumbuhan melalui kontrak tender buku teks sekolah bagi kurikulum baharu 2027, yang melibatkan tender bernilai lebih RM90 juta untuk subjek Tahun 1 dan Tingkatan 1.
"Kumpulan optimis terhadap trajektori pertumbuhan masa depan dengan memanfaatkan kepakaran penerbitan selama 40 tahun serta integrasi rumusan digital yang inovatif," katanya. - DagangNews.com








