Sasaran untung 3 tahun MGB disemak berikutan prestasi lemah segmen pembinaan - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sasaran untung 3 tahun MGB disemak berikutan prestasi lemah segmen pembinaan - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Prestasi separuh pertama tahun kewangan 2025 MGB Berhad yang lemah, dalam segmen pembinaan, mengakibatkan anggaran keuntungan bagi tempoh tiga tahun (FY25 hingga FY27) perlu dinilai semula, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan teras kumpulan berkenaan bagi 1H25 yang berjumlah RM23.5 juta, adalah susut 17% berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

 

Angka ini hanya mencerminkan 43% daripada unjuran dalaman dan 39% daripada jangkaan pasaran, yang menunjukkan penyimpangan negatif secara ketara.

 

"Susulan prestasi suku kedua dan setengah tahun yang lemah, anggaran keuntungan MGB bagi FY25, FY26 dan FY27 masing-masing disemak turun sebanyak 11%, 13% dan 7%," kata RHB Research dalam notanya.

 

Penyusutan ini tambahnya, didorong oleh kemajuan perlahan dalam projek pembinaan, margin yang lebih rendah, serta unjuran jualan hartanah yang lebih berhati-hati.

 

RHB Research berkata, harga sasaran sesaham MGB turut disemak semula daripada RM1.02 kepada 87 sen, berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP).

 

Bagaimanapun, saranan 'beli' masih dikekalkan memandangkan penilaian semasa dianggap tidak ketara, dengan potensi kenaikan sebanyak 74% dan anggaran hasil dividen 5% untuk FY25.

 

Dalam suku kedua FY25 (2Q25), segmen pembinaan mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM1.8 juta, sedikit meningkat daripada RM1.6 juta dalam suku yang sama tahun lalu.

 

"Ini berpunca daripada penurunan sumbangan projek Prestige yang hampir selesai serta kos lebih tinggi dalam operasi konkrit pracetak di Arab Saudi," kata firma berkenaan.

 

Sebaliknya, segmen pembangunan hartanah menyumbang RM19.8 juta keuntungan sebelum cukai, walaupun ia juga menunjukkan penurunan 18.8% tahun ke tahun (YoY), disebabkan kemajuan lebih rendah dan penyerahan unit Idaman Melur.

 

MGB kini mempunyai buku tempahan tertunggak sebanyak RM1.1 bilion, dengan RM380 juta kontrak baharu diperoleh setakat ini untuk FY25, iaitu sedikit di bawah sasaran tahunan RM500 juta.

 

Projek terbaharu bernilai RM186 juta di Iskandar Puteri, Johor namun menunjukkan kebolehannya mengembangkan operasi di luar Lembah Klang dan Pahang.

 

"Kehadiran Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura turut meningkatkan potensi permintaan kediaman di negeri tersebut kepada projek MGB," kata RHB Research.

 

Walaupun berdepan cabaran jangka pendek, prospek jangka sederhana masih positif disokong oleh pelancaran projek hartanah bernilai lebih RM1 bilion dalam bentuk rumah mampu milik.

 

Selain itu, pembangunan Taman Perindustrian Kerteh, Terengganu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM747 juta dan potensi pertumbuhan konkrit pracetak di Arab Saudi dilihat sebagai pemangkin utama masa hadapan.

 

RHB Research turut memberi amaran bahawa risiko utama termasuk kemungkinan penurunan mendadak dalam pasaran hartanah, yang boleh menjejaskan pertumbuhan pendapatan dan keuntungan masa hadapan. - DagangNews.com