Sasar 12 syarikat penerbangan baharu pada 2025, rancang KLIA jadi hab Asia Pasifik - MAHB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sasar 12 syarikat penerbangan baharu pada 2025, rancang KLIA jadi hab Asia Pasifik - MAHB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) masih memperhebatkan strategi menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab utama rantau Asia Pasifik.

 

Ketua Pegawai Penerbangan dan Strategi MAHB, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata, ia menyasarkan kehadiran sejumlah 12 syarikat penerbangan antarabangsa yang baharu sepanjang tahun ini.

 

Usaha ini katanya, sejajar dengan pencapaian dilaksanakan pada 2024, dan setakat ini lapan syarikat penerbangan antarabangsa telah pun disahkan, termasuk lima yang beroperasi di KLIA.

 

 

 

 

 

 

Antaranya British Airways dari Britain, dan FitsAir dari Sri Lanka serta beberapa syarikat lagi dari China seperti Lucky Air (Yunnan), Hainan Airlines (Haikou) dan Juneyao Airlines (Shanghai).

 

“Setiap syarikat membawa laluan baharu dan aliran penumpang baharu, sama ada menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi akhir atau sebagai titik transit ke destinasi lain,” kata Megat Ardian.

 

Beliau menjelaskan pendekatan MAHB menggabungkan strategi memburu syarikat baharu dan memupuk hubungan sedia ada, termasuk bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan tempatan dan asing.

 

Langkah berkenaan katanya, disebabkan mereka sudah lama beroperasi dengan usaha itu bagi menambah lagi kekerapan penerbangan serta menaik taraf jenis pesawat yang digunakan selama ini.

 

MAHB turut mengambil bahagian aktif dalam acara jaringan industri seperti Routes World dan Routes Asia, selain melakukan lawatan terus ke ibu pejabat syarikat penerbangan berkenaan di luar negara.


Ia bekerjasama erat dengan Tourism Malaysia melalui misi jualan bersama ke pasaran utama seperti China, Timur Tengah dan Eropah, bagi memperkenalkan potensi pasaran dan rangkaian sambungan yang ditawarkan di KLIA.

 

“Kami turut membantu syarikat penerbangan dalam perancangan mereka melalui perkongsian data trafik terperinci termasuk aliran penumpang transit dan potensi kerjasama dengan rakan penerbangan tempatan seperti Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air Malaysia,” katanya.

 

Dengan kehadiran pemegang saham baharu, Megat Ardian berkata, MAHB kini mengambil pendekatan lebih menyeluruh, yang turut mempertimbangkan tahap kesetiaan penumpang, segmen pasaran, dan corak perjalanan syarikat beroperasi di Bangkok atau Singapura tetapi belum ke Kuala Lumpur.

 

“Kami kenal pasti syarikat yang bakal menerima pesawat baharu dan sedang meyakinkan mereka untuk mempertimbangkan KLIA sebagai hab seterusnya,” jelasnya.

 

MAHB tambahnya, kini dalam perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan nasional Eropah dan mengekalkan rundingan aktif dengan syarikat dari China dan Timur Tengah.

 

Pasaran China dilihat kembali rancak, disokong oleh pelanjutan tempoh visa bebas kepada 90 hari untuk pelancong.

 

Sementara itu, India dan Timur Tengah juga muncul sebagai pasaran pesat membangun, terutamanya bagi trafik transit ke Australia dan Pasifik Selatan melalui KLIA.

 

KLIA mencatat 30 juta penumpang dalam separuh pertama 2025, meningkat hampir 10% berbanding tempoh sama 2024, dengan purata faktor muatan sekitar 78%.

 

 

 

 

 

 

MAHB turut menjalin rundingan dengan syarikat penerbangan dari Amerika Syarikat dan Kanada, walaupun mereka lebih berhati-hati dan bergantung kepada keupayaan sambungan feeder sebelum memulakan laluan baharu.

 

“Kebanyakan mahu pastikan separuh tempat duduk pesawat dapat diisi penumpang terus, dan separuh lagi disokong kerjasama dengan syarikat penerbangan tempatan, di sinilah peranan kami,” jelas Megat Ardian. - DagangNews.com