Sarawak tunggu hasil perbincangan sebelum tentukan kadar FWTA - Abang Johari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak tunggu hasil perbincangan sebelum tentukan kadar FWTA - Abang Johari

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 26 Mei - Kerajaan Sarawak sedang menunggu hasil perbincangan berkaitan struktur fi di bawah Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA) sebelum membuat keputusan muktamad mengenai kadar baharu yang akan dikenakan kepada industri.

 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ketika ini perbincangan sedang dijalankan antara Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Gerawat Gala bersama penyedia perkhidmatan FWTA.

 

“Kita sedang menunggu cadangan dan laporan. Selepas itu kita akan membuat keputusan,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menilai beberapa faktor termasuk keadaan ekonomi semasa sebelum memutuskan sebarang pelarasan kadar, khususnya yang melibatkan sektor swasta.

 

“Kita akan lihat bagaimana kita boleh menyusun semula kadar untuk sektor swasta,” jelasnya.

 

Artikel berkaitan: Persatuan Pengilang Sarawak gesa kerajaan tangguh kenaikan caj FWTA, bimbang tekan industri pembuatan negeri

 

Sebelum ini, pemain industri di Sarawak menyuarakan kebimbangan berhubung peningkatan fi pembaharuan permit pekerja asing di bawah FWTA yang disifatkan memberi tekanan tambahan kepada kos operasi.

 

Di bawah pelarasan baharu yang dijadualkan, fi tersebut akan meningkat daripada RM904 kepada RM1,484 bermula 1 Jun ini, sebelum meningkat lagi kepada RM1,854 pada tahun berikutnya.

 

Kerajaan negeri bagaimanapun menegaskan sebarang keputusan lanjut hanya akan dibuat selepas menerima cadangan dan laporan penuh daripada pihak terlibat. - DagangNews.com