Persatuan Pengilang Sarawak gesa kerajaan tangguh kenaikan caj FWTA, bimbang tekan industri pembuatan negeri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persatuan Pengilang Sarawak gesa kerajaan tangguh kenaikan caj FWTA, bimbang tekan industri pembuatan negeri

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Mei - Persatuan Pengilang Sarawak (SMA) menggesa kerajaan supaya mengekalkan kadar semasa atau menangguhkan cadangan kenaikan caj pembaharuan di bawah Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA) yang dijadual berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027.

 

Setiausaha Agung SMA, Stephen Ang berkata, kenaikan caj berkaitan FWTA daripada RM904 kepada RM1,484 dan seterusnya RM1,854 dijangka memberi tekanan tambahan kepada industri berintensifkan buruh yang kini beroperasi dalam persekitaran margin keuntungan yang semakin mencabar.

 

 

 

 

Menurut beliau, sektor pembuatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih bergelut dengan peningkatan kos operasi termasuk kos pengeluaran, logistik, penghantaran, pematuhan, utiliti serta pelaksanaan gaji minimum.

 

“Ketidaktentuan ekonomi global turut menambah cabaran kepada perniagaan ketika ini. Peningkatan berterusan kos operasi boleh menjejaskan kelangsungan sesetengah syarikat terutama PKS dan pengilang berintensifkan buruh,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, pihak industri berharap situasi itu tidak sampai ke tahap syarikat terpaksa mengurangkan operasi, menangguhkan pelaburan atau lebih buruk lagi menghentikan operasi sepenuhnya.

 

Katanya, keadaan sedemikian bukan sahaja menjejaskan pertumbuhan industri malah boleh memberi impak negatif kepada peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi jangka panjang Sarawak.

 

Dalam pada itu, SMA mengakui penambahbaikan yang diperkenalkan kerajaan menerusi rangka kerja FWTA, termasuk usaha meningkatkan kecekapan, ketelusan dan penyelarasan kawal selia dalam pengurusan pekerja asing.

 

Namun, Stephen berkata banyak syarikat masih dalam proses pemulihan dan penyesuaian operasi selepas berdepan pelbagai tekanan kos sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

“Pelaksanaan secara lebih berperingkat atau penangguhan sementara akan memberi ruang kepada syarikat untuk menstabilkan operasi dan merancang masa depan perniagaan dengan lebih berkesan,” katanya.

 

Beliau turut menjelaskan bahawa beberapa sektor utama termasuk pembuatan, pemprosesan kayu, pengeluaran makanan, logistik dan industri hiliran masih mengalami kekurangan tenaga kerja walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menarik pekerja tempatan.

 

Menurutnya, ahli SMA kekal komited mengutamakan pengambilan pekerja tempatan selain terus melabur dalam automasi, latihan kemahiran dan peningkatan produktiviti.

 

“Bagaimanapun, terdapat beberapa peranan operasi yang masih sukar diisi tenaga kerja tempatan, menyebabkan kebergantungan terhadap pekerja asing masih diperlukan bagi memastikan kesinambungan operasi,” katanya.

 

 

 

 

 

 

SMA turut menegaskan kepentingan mengekalkan persekitaran perniagaan yang kompetitif memandangkan Sarawak bersaing di peringkat serantau untuk menarik pelaburan dan peluang eksport.

 

“Kami berharap penglibatan berterusan antara kerajaan dan pihak industri dapat memastikan pelaksanaan dasar kekal seimbang, praktikal serta menyokong pertumbuhan ekonomi dan kelestarian tenaga kerja,” katanya. - DagangNews.com