Sarawak sasar kuasai syarikat RE, AI termasuk aset strategik Persekutuan perkukuh ekonomi negeri dan buka peluang pekerjaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak sasar kuasai syarikat RE, AI termasuk aset strategik Persekutuan perkukuh ekonomi negeri dan buka peluang pekerjaan

KUALA LUMPUR 11 Mei - Kerajaan Sarawak merancang untuk mengambil alih lebih banyak entiti dan aset strategik milik kerajaan Persekutuan dalam usaha memperkukuh kedudukan ekonomi negeri sejajar pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu penting bagi memperluaskan penguasaan ekonomi negeri sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Sarawak, khususnya dalam sektor teknologi dan industri baharu.

 

 

 

 

 

 

Menurut beliau, dalam tempoh enam tahun lalu, Sarawak telah berjaya mengambil alih beberapa aset strategik termasuk Empangan Bakun, Pelabuhan Bintulu serta syarikat penerbangan MASwings Sdn. Bhd.

 

“Kami juga sedang membangunkan Petroleum Sarawak Bhd. (Petros), mengambil alih ekuiti dalam Affin Bank Bhd. sehingga menjadi pemegang saham terbesar, dan kami mahu mengambil alih lebih banyak lagi aset strategik.

 

“Kami sedang memperluaskan ekonomi berasaskan PCDS 2030 dan ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baharu,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam.

 

 

 

 

 

 

Abang Johari berkata transformasi ekonomi Sarawak kini bergerak ke arah ekonomi berteknologi tinggi yang memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui (RE), automasi, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan industri semikonduktor.

 

Menurut beliau, Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir dan profesional dalam pelbagai bidang termasuk aeroangkasa, teknologi digital dan industri cip semikonduktor. - BERNAMA