KUALA LUMPUR 17 Feb - Sarawak telah menerima sejumlah lebih RM96 bilion manfaat kewangan keseluruhan daripada industri minyak dan gas (O&G) sehingga akhir tahun lepas, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini termasuk RM49 bilion dalam bentuk pembayaran tunai dan RM28.6 bilion dividen daripada pegangan saham kerajaan negeri melalui Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak dalam Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) setakat Disember 2024.
MLNG merupakan sebuah anak syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bertanggungjawab dalam mengendalikan salah satu kemudahan pengeluaran bekalan gas asli cecair (LNG) terbesar di dunia yang terletak di Bintulu, Sarawak.
Selain itu, Sarawak juga menerima sebanyak RM18.66 bilion dalam bentuk hasil cukai jualan setakat suku ketiga tahun lepas, kata Anwar yang berucap pada persidangan Dewan Rakyat semasa menyentuh aktiviti petroleum di negeri tersebut.
Beliau turut mengulangi bahawa Petronas, sebagai pihak berkuasa negara ke atas industri O&G, telah pun memenuhi segala peranannya dengan memastikan isu pengagihan yang saksama kepada semua negeri di Malaysia, termasuk Sarawak.
Malah tambah beliau lagi, sejak 1976, industri O&G di seluruh Sarawak telah menyaksikan sejumlah lebih RM280 bilion dalam bentuk pelaburan huluan dan pembangunan infrastruktur.
"Daripada jumlah ini, anggaran RM90 bilion dalam nilai kontrak dibelanjakan sepanjang dekad lalu (2014–2024). Syarikat vendor berdaftar dari Sarawak juga memperoleh kontrak bernilai lebih RM40 bilion dalam tempoh sama," kata Anwar.
Pada masa sama ujar beliau, Petronas sendiri telah menyumbang sebanyak lebih RM600 juta ke arah penambahbaikan aspek pendidikan dan pembangunan modal insan di Sarawak sepanjang dekad lepas.
Justeru beliau memuji peranan besar yang dilaksanakan oleh pihak Petronas dalam usaha pembangunan negara dan pertumbuhan ekonomi hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan persekutuan.
"Sebab itu kami memilih untuk membuat pelarasan dan mengiktiraf Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dalam terus memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak," katanya merujuk usaha Kerajaan Sarawak mencari kawalan lebih besar ke atas sumber aslinya.
Terdahulu pada Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mendedahkan bahawa Petronas kini mengiktiraf Petros sebagai agregator gas Sarawak namun tidak termasuk LNG.
Kerajaan persekutuan, Petronas, kerajaan Sarawak dan Petros kini sedang memperhalusi lagi beberapa aspek perjanjian berkenaan, termasuk dari segi implikasi undang-undangnya. - DagangNews.com








