Sarawak Oil Palms kekal teguh, disokong prospek harga minyak sawit mentah – penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak Oil Palms kekal teguh, disokong prospek harga minyak sawit mentah – penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 SeptSarawak Oil Palms Berhad terus menarik perhatian selepas mencatatkan keputusan kewangan suku kedua yang stabil, disokong prospek harga minyak sawit mentah (MSM).


Penganalisis turut menyifatkan perkembangan positif tersebut disokong oleh pengeluaran MSM yang memberangsangkan serta aliran tunai kukuh direkodkan kumpulan perladangan berkenaan sendiri.


Maybank Investment Bank (Maybank IB) dan RHB Research masing-masing mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham syarikat ini walaupun berdepan tekanan kos pengeluaran dan margin penapisan susut.


"Keuntungan teras bersih Sarawak Oil Palms sebanyak RM208 juta bagi 1H25 adalah sepadan dengan unjuran, mewakili 50% daripada anggaran tahunan kami," kata Maybank IB dalam nota kajiannya.


Meskipun keuntungan 2QFY25 jatuh 11% tahun ke tahun (YoY) kepada RM93 juta, ia stabil dengan pertumbuhan MSM sebanyak 3% YoY dan peningkatan harga jualan purata minyak isirong (PK) 40% YoY.


Faktor seperti pelaksanaan baja yang pantas dan pengukuhan kedudukan tunai bersih kepada RM1.26 bilion telah meningkatkan keupayaan kumpulan berkenaan untuk melaksanakan pembayaran dividen.


Justeru kata Maybank IB, Sarawak Oil Palms mampu mengisytiharkan dividen interim 4 sen, dan dijangka mengekalkan bayaran tersebut sekurang-kurangnya 15 sen untuk setiap saham bagi FY25.


“Sarawak Oil Palms kini diperdagangkan antara yang paling menarik dalam sektor perladangan,” kata firma itu yang menetapkan harga sasaran (TP) kepada RM5.09, berdasarkan rekod purata lapan tahun.


Sementara itu, RHB Research mengakui keputusan 1H25 sedikit mengecewakan berbanding jangkaan, susulan penurunan pembelian buah tandan segar (BTS) luaran dan kos pengeluaran yang lebih tinggi. 


Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut menjangka berlaku proses pemulihan secara ketara pada tempoh suku ketiga berikutan kenaikan harga MSM dan pengeluaran yang lebih tinggi selepas ini.


RHB Research bertindak mengurangkan unjuran pertumbuhan BTS untuk Sarawak Oil Palms bagi FY25 kepada 3% daripada 6%, tetapi masih lagi mengekalkan sasaran FY26-FY27 sebanyak 3-5%. 


Kos pengeluaran unit kumpulan perladangan tersebut kata firma berkenaan, dijangka kekal tinggi susulan harga baja yang meningkat sebanyak 10% untuk tempoh separuh kedua pada tahun ini.


“Kami menaikkan TP kepada RM3.95 sesaham sebelum diskaun sebanyak 14%, berdasarkan unjuran perolehan FY26 yang lebih sepadan dengan julat penilaian rakan industri,” kata firma itu.


Walaupun margin penapisan kekal lemah dan pengeluaran MSM menurun 8% YoY akibat kejatuhan pembelian luar, segmen biodiesel kumpulan tersebut terus menyumbang margin yang stabil.


Ia turut memenuhi mandat penggunaan biodiesel di Sarawak dan syarikat ini dijangka meraih manfaat daripada peningkatan kapasiti penyulingan dan penawaran stok bahan mentah lebih tinggi pada 2H25.


Situasi itu sekali gus meningkatkan faktor penggunaan loji dan margin penapisan dengan kedua-dua firma tersebut menyatakan kedudukan tunai bersih dan dividen Sarawak Oil Palms yang masih kukuh.


“Kami melihat kumpulan ini sebagai pemain peladang sebenar yang sepatutnya menikmati margin lebih tinggi dalam persekitaran harga MSM yang tinggi,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.


Dengan pendapatan stabil, prospek pemulihan output dalam 2H25, dan kewangan syarikat yang kukuh, Sarawak Oil Palms menurut mereka, kekal sebagai pilihan menarik dalam sektor perladangan. 


Walaupun tekanan kos dan penurunan pembelian luar memberi cabaran, kebolehan syarikat mengekalkan margin, dividen dan pertumbuhan sederhana terus menjadi sandaran utama pelabur. - DagangNews.com