Sarawak larang restoran tanpa sijil halal guna istilah berkaitan Ramadan dalam iklan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak larang restoran tanpa sijil halal guna istilah berkaitan Ramadan dalam iklan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Feb — Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) mengeluarkan arahan tegas melarang mana-mana hotel atau premis makanan tanpa sijil halal daripada menggunakan istilah berkaitan Ramadan dalam pengiklanan mereka.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi media sosial, agensi itu berkata, frasa seperti Bufet Ramadan, Iftar Ramadan, Jom Iftar, dan Selera Ramadan tidak boleh digunakan dalam apa-apa bahan promosi tanpa pensijilan halal rasmi.

 

Sekatan berkenaan jelas JAIS lagi, terpakai kepada semua bentuk pengiklanan, termasuk risalah bercetak, poster, sepanduk dan iklan digital yang meliputi hebahan melalui platform media sosial.

 

 

“Langkah ini memastikan pengguna, khususnya masyarakat Islam, tidak terpedaya untuk mempercayai tawaran makanan daripada premis itu yang tidak disahkan mematuhi piawaian halal,” kata kenyataan tersebut.

 

jais

 

JAIS turut memberi amaran, pesalah berkenaan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000, dengan penalti tambahan yang mencecah sehingga RM10 juta dalam kes berat.

 

Agensi tersebut pada masa sama menggesa semua pengusaha makanan dan hospitaliti agar mendapatkan pensijilan halal yang sewajarnya sebelum mengiklankan promosi berkaitan Ramadan.

 

JAIS seterusnya menasihatkan pemilik perniagaan untuk menghubungi Bahagian Pengurusan Halal jabatan untuk pertanyaan mengenai pensijilan atau penjelasan berhubung larangan baharu itu. - DagangNews.com