Sarawak bina tebingan sungai baharu sepanjang 4.8km hubungkan Brooke Dockyard dan Jambatan Satok | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak bina tebingan sungai baharu sepanjang 4.8km hubungkan Brooke Dockyard dan Jambatan Satok

Tebingan sungai sepanjang 4.8km menghubungkan Muzium Warisan Perindustrian Brooke Dockyard dan Jambatan Satok.
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 April - Sebuah tebingan sungai baharu sepanjang 4.8 kilometer akan dibina di Sungai Sarawak bagi menghubungkan Muzium Warisan Perindustrian Brooke Dockyard dan jambatan ikonik bandar Kuching, Jambatan Satok.

 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, fasa pertama pembinaan tebingan itu akan bermula tahun depan membabitkan kos permulaan RM160 juta.

 

"Fasa kedua dianggarkan akan menelan kos sekitar RM400 juta dan pembangunan tersebut akan menggunakan reka bentuk bertingkat bagi memastikan kawasan perumahan berhampiran tidak terjejas, selain meningkatkan kemudahan pergerakan pelancong," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Muzium Warisan Perindustrian Brooke Dockyard malam tadi.

 

UKAS
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Muzium Warisan Perindustrian Brooke Dockyard di Kuching pada Isnin 20 April 2026. - Gambar/Unit Komunikasi Awam Sarawak

 

Abang Johari berkata, pembangunan semula dua elemen bersejarah iaitu Jambatan Satok dan Brooke Dockyard, yang dibina pada era pemerintahan Brooke, mencerminkan kekayaan warisan Sarawak yang berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan.

 

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, pengiktirafan UNESCO terhadap Sarawak Delta Geopark dijangka mengukuhkan lagi kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelancongan berprofil tinggi di rantau ini.

 

Katanya, Sarawak bakal menjadi negeri pertama di Borneo menerima pengiktirafan tersebut, selepas beberapa lokasi lain di Malaysia seperti Perak dan Langkawi.

 

“Apabila menerima sijil UNESCO, nilai tarikan Sarawak akan meningkat dan menjadikannya lebih ‘premium’ kepada pelancong,” katanya.

 

Sarawak Delta Geopark bakal menjadi pengiktirafan keempat UNESCO kepada negeri itu selepas Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia, serta Kuching yang diiktiraf sebagai Bandar Kreatif Gastronomi. - DagangNews.com