Sarawak bina Kampus Data AI di Tanjung Embang, tapak seluas 405 hektar sudah dikenal pasti | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak bina Kampus Data AI di Tanjung Embang, tapak seluas 405 hektar sudah dikenal pasti

KUALA LUMPUR 4 Mei - Selepas Lapangan Terbang Antarabangsa baharu dan Pelabuhan Laut Dalam, Tanjung Embang terus menjadi lokasi penting pembangunan masa depan Sarawak apabila bakal menempatkan satu lagi pelaburan berteknologi tinggi iaitu pembinaan kampus data Kecerdasan Buatan (AI)

 

Selain menarik pelaburan, pembinaan kampus data AI di kawasan yang terletak di selatan bandar raya Kuching itu akan mengukuhkan ekosistem pusat data AI negeri itu.

 

Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), dalam satu kenyataan, berkata rancangan itu diumumkan oleh Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa lawatan kerja rasminya ke Kampus Pusat Data Strategik K2 di Dublin, Ireland, pada hari Sabtu.

 

JohariAI
Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg melawat Kampus Pusat Data Strategik K2 di Dublin, Ireland. - Gambar/Unit Komunikasi Awam Sarawak

 

Abang Johari berkata sebuah tapak seluas 405 hektar telah dikenal pasti bagi projek berimpak tinggi tersebut.

 

 

 

 

 

 

 

“Cadangan kampus ini, yang akan dikenali sebagai Kampus Data AI Kuching, akan dilengkapi dengan kemudahan bekalan tenaga dan air khusus untuk menyokong operasi pusat data.

 

“Projek ini akan dilaksanakan melalui perkongsian awam-swasta (PPP), bermula dengan fasa pertama meliputi kawasan seluas 120 hektar,” menurut laporan BERNAMA

 

Abang Johari menambah bahawa pembangunan tersebut akan dimodelkan berdasarkan kemudahan bertaraf dunia yang telah beliau lawati.

 

 

 

 

 

 

Inisiatif ini juga menyokong pelan pembangunan berskala besar di Tanjung Embang, termasuk pembinaan lapangan terbang baharu, pelabuhan laut dan pembangunan industri rendah karbon.