KUALA LUMPUR 2 Julai – Sapura Industrial Berhad melupuskan sebidang tanah perindustrian pegangan pajakan di Bandar Baru Bangi pada harga RM42.33 juta secara tunai bagi membiayai pengembangan operasi pembuatan komponen automotif serta pembelian tanah baharu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, tanah berkeluasan 40,964 meter persegi itu dijual kepada Zeito Plastic Components Sdn Bhd menerusi perjanjian jual beli yang dimeterai pada 1 Julai 2026.
Tanah berkenaan mempunyai tempoh pajakan sehingga Julai 2103.
Sapura Industrial berkata, tanah tersebut kini diklasifikasikan sebagai tanah perindustrian kosong namun sebahagian daripadanya disewakan kepada pihak lain dan menjana pendapatan sewaan kepada syarikat.
Harga jualan RM42.33 juta itu mewakili premium kira-kira 4.3% berbanding nilai pasaran RM40.6 juta berdasarkan penilaian bebas setakat 30 April 2026. Nilai itu juga jauh lebih tinggi berbanding nilai buku bersih aset tersebut sebanyak RM9.1 juta pada 31 Januari 2026.
Susulan transaksi itu, syarikat dijangka merekodkan keuntungan bersih sekali sahaja sebanyak RM29.14 juta selepas mengambil kira kos urus niaga dan cukai keuntungan hartanah.
Daripada keseluruhan hasil jualan, sebanyak RM23.12 juta akan digunakan untuk memperluaskan kapasiti pembuatan dan pemasangan komponen automotif melalui pembelian mesin berketepatan tinggi serta peralatan pemasangan khusus.
Selain itu, RM12 juta diperuntukkan bagi memperoleh tanah atau hartanah baharu untuk membina kilang yang lebih hampir dengan pelanggan, manakala RM3.11 juta akan digunakan sebagai modal kerja.
Baki selebihnya diperuntukkan bagi menampung kos berkaitan pelupusan tersebut.
Menurut syarikat, pelupusan itu membolehkan nilai aset bukan teras yang dimiliki lebih 20 tahun direalisasikan sebelum modal berkenaan disalurkan semula kepada aktiviti operasi yang mampu memberikan pulangan lebih tinggi.
Dari sudut kedudukan kewangan, urus niaga itu dijangka meningkatkan aset bersih sesaham kepada RM2.05 berbanding RM1.65 sebelum ini, selain mengurangkan nisbah gearing kepada 0.32 kali daripada 0.40 kali yang seterusnya mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan. - DagangNews.com








