Binastra mampu urus buku tempahan RM6.8 bilion ketika saingan kontrak pusat data makin sengit, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Binastra mampu urus buku tempahan RM6.8 bilion ketika saingan kontrak pusat data makin sengit, kata RHB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 JulaiBinastra Corporation Berhad mampu berdepan dengan cabaran besar bagi membuktikan keupayaan pelaksanaan buku tempahannya bernilai RM6.8 bilion, menurut RHB Research.

 

Firma itu berkata, cabaran tersebut antara isu diteliti pelabur di tengah-tengah persaingan sengit mendapatkan kontrak baharu serta risiko kelembapan pengisian semula tempahan pada masa depan.

 

Walaupun prospek sektor pembinaan disokong permintaan projek pusat data (DC), antara risiko utama yang perlu diberi perhatian ialah jika kadar perolehan kontrak baharu menjadi semakin perlahan.

 

"Situasi ini boleh menjejaskan pertumbuhan hasil Binastra selepas projek yang sedia ada itu siap, namun kami mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM3.10 sesaham," jelas RHB Research.

 

Keyakinan itu ujarnya, disokong pemerolehan kontrak pembinaan DC terkini yang setinggi tujuh tingkat dan bernilai RM491 juta daripada Exsim Sri Permai di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur.

 

Tender terbaharu itu merupakan projek DC ketujuh yang berjaya diraih kumpulan tersebut dan kontrak ketiga yang diperoleh dalam FY27, dengan tempoh pembinaan selama 18 bulan bermula 1 Julai 2026.

 

Artikel berkaitan: Binastra raih kontrak pusat data RM491 juta di Kuala Lumpur daripada Exsim Sri Permai

 

Binastra_DagangNews2026

 

Berdasarkan anggaran RHB Research, projek itu berkapasiti antara 10 megawatt (MW) hingga 20MW dan merupakan fasa kedua kepada projek DC yang dianugerahkan kepada Binastra pada Februari 2026 lalu.

 

"Kemenangan kontrak ini meningkatkan nilai buku tempahan terkumpulnya kepada RM6.8 bilion, atau nisbah liputan hasil kepada buku tempahan iaitu 4.5 kali berdasarkan unjuran hasil FY26," katanya.

 

Justeru, firma itu berpandangan FY27 akan menjadi tahun pelaksanaan projek-projek sedia ada kerana  syarikat kini memiliki cukup portfolio kerja, di samping potensi pertumbuhan jangka sederhana.

 

Setakat tahun semasa FY27, Binastra sudah dapat memperoleh kontrak baharu yang bernilai kira-kira RM1.3 bilion berbanding sasaran pengisian semula tempahan oleh RHB Research sebanyak RM3 bilion.

 

Secara keseluruhannya, syarikat telah meraih kontrak pusat data bernilai kira-kira RM2.4 bilion menerusi tujuh projek, mewakili sekitar 10% hingga 15% daripada jumlah buku tempahan semasanya.

 

"Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran pendapatan dan saham kumpulan ini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27 sebanyak 12.8 kali, lebih rendah berbanding purata," tambahnya.

 

Perkembangan ini menjadikan penilaian semasa Binastra dilihat masih menarik berikutan strategi kepelbagaian syarikat yang semakin melangkaui projek pembangunan kediaman tradisional. - DagangNews.com