Elmina Business Park jadi pemangkin utama, CGSI naikkan unjuran keuntungan Sime Darby Property kepada RM742 juta menjelang FY28 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Elmina Business Park jadi pemangkin utama, CGSI naikkan unjuran keuntungan Sime Darby Property kepada RM742 juta menjelang FY28

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Julai – Elmina Business Park (EBP) diyakini menjadi pemangkin utama pertumbuhan Sime Darby Property Berhad dalam jangka panjang apabila pembangunan taman perindustrian itu terus mencatat permintaan memberangsangkan, meningkatkan nilai bank tanah syarikat serta mengukuhkan sumber pendapatan berulang, kata CGS International.

 

Firma penyelidikan itu berkata EBP yang mempunyai keluasan kira-kira 607 hektar (1,500 ekar) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM9.9 bilion kini telah memajukan kira-kira 47% daripada keseluruhan kawasan, termasuk projek yang telah dilancarkan dan tanah yang diperuntukkan bagi aset pendapatan berulang.

 

CGSI berpandangan EBP bukan sekadar sebuah bandar perindustrian konvensional, sebaliknya mampu menjadi pengganda nilai kepada bank tanah Sime Darby Property, mempercepatkan kenaikan nilai tanah serta meningkatkan kualiti pendapatan syarikat dalam jangka panjang.

 

Prospek Pembangunan Terus Kukuh

CGSI percaya baki pembangunan di EBP akan terus membuka nilai baharu dalam tempoh tujuh hingga 10 tahun akan datang, sejajar dengan perkembangan sektor pembuatan negara serta pertumbuhan ekonomi baharu yang semakin memerlukan kawasan perindustrian moden. 

 

“Permintaan kukuh itu turut mendorong Sime Darby Property melancarkan EBP2 pada Januari 2026 melibatkan kawasan seluas hampir 142 hektar (350 ekar) dengan nilai pembangunan kasar RM2 bilion.

 

“Menurut pengurusan syarikat, nilai pembangunan di EBP terus meningkat apabila harga kilang siap bina melonjak daripada sekitar RM2.8 juta hingga RM2.9 juta pada 2019 kepada lebih RM6 juta ketika ini, manakala harga tanah industri pula meningkat daripada sekitar RM80 hingga RM90 bagi setiap kaki persegi kepada melebihi RM200 sekaki persegi.

 

“Malah, sebanyak 19 lot industri yang ditawarkan di EBP2 pada harga RM135 sekaki persegi, iaitu lebih rendah berbanding kawasan yang telah matang kerana infrastrukturnya masih dalam pembangunan, telah mencatat kadar pengambilan melebihi 80% yang membuktikan permintaan terhadap projek itu masih kekal kukuh,” kata CGSI dalam nota kajiannya.

 

Pendapatan Berulang Terus Diperkukuh

Dalam masa sama, CGSI berkata Sime Darby Property menyasarkan pendapatan berulang menyumbang 30% daripada keuntungan kumpulan menjelang tahun kewangan 2028, dipacu oleh pertambahan portfolio aset pelaburan yang menjana aliran pendapatan lebih stabil.

 

Sasaran itu dijangka dicapai menerusi sumbangan penuh daripada dua fasa pusat data yang dibangunkan secara bina untuk disewa di EBP selain pendapatan daripada pusat beli-belah dan aset industri milik syarikat. 

 

t

 

“Pusat data Fasa 1 telah diserahkan kepada Pearl Computing dengan penyewaan bermula pada 1 April 2026, manakala pembinaan pusat data Fasa 2 kini telah melepasi 10%.

 

“Kami menganggarkan kedua-dua pusat data tersebut mampu menjana keuntungan selepas cukai antara RM130 juta hingga RM140 juta setahun, bersamaan kira-kira 18 hingga 19% daripada unjuran keuntungan bersih teras Sime Darby Property bagi tahun kewangan 2028,” jelasnya.

 

Selain itu, Sime Darby Property turut menyasarkan peningkatan aset di bawah pengurusan (AUM) daripada RM4.4 bilion ketika ini kepada RM10 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun menerusi pembangunan pusat data Fasa 2, Metrohub 3 dan Metrohub 4, pusat beli-belah baharu di Serenia City serta pelbagai aset pelaburan lain.

 

CGSI turut melihat Dana Usaha Niaga Ekonomi Baharu sebagai pemangkin pertumbuhan jangka sederhana kerana Sime Darby Property bukan sahaja berpeluang menikmati bahagian keuntungan daripada dana tersebut, malah memperoleh yuran pengurusan aset yang dijangka mengukuhkan lagi sumber pendapatan berulang syarikat.

 

Saranan Tambah Dikekalkan

Sehubungan itu, CGSI berpandangan pembangunan EBP berpotensi meningkatkan nilai bank tanah Sime Darby Property serta menyokong penilaian saham yang lebih tinggi, selain disokong oleh kedudukan kewangan yang mantap dan pertumbuhan keuntungan yang mampan. 

 

Firma itu turut menyifatkan penilaian saham syarikat ketika ini kembali berada pada paras yang menarik dengan nisbah harga kepada pendapatan (price-to-earnings ratio, P/E) bagi tahun kewangan 2026 sekitar 15 kali, menghampiri purata lima tahun.

 

Berdasarkan faktor tersebut, CGSI mengekalkan saranan Tambah terhadap saham Sime Darby Property dengan harga sasaran RM1.85 sesaham, mewakili potensi peningkatan sekitar 31% daripada harga semasa RM1.41. 

 

Firma itu turut menjangkakan keuntungan bersih syarikat meningkat kepada RM648 juta pada 2026 sebelum berkembang kepada RM698 juta pada 2027 dan RM742 juta pada 2028, disokong pertumbuhan jualan hartanah industri serta peningkatan sumbangan pendapatan berulang.

 

Bagaimanapun, CGSI berkata antara risiko yang boleh menjejaskan unjurannya termasuk kerugian yang lebih besar daripada projek Battersea Power Station di London serta pelancaran projek hartanah yang lebih perlahan daripada jangkaan. 

 

Sebaliknya, pertumbuhan jualan yang lebih kukuh dan pengembangan lanjut aset pusat data berpotensi menjadi pemangkin kepada penilaian semula saham syarikat pada masa hadapan.  - DagangNews.com