Pertama Digital mencetuskan kriteria PN17 ekoran ekuiti pemegang sahamnya jatuh ke paras 25% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertama Digital mencetuskan kriteria PN17 ekoran ekuiti pemegang sahamnya jatuh ke paras 25%

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 2 Julai – Pertama Digital Bhd mencetuskan status Amalan Nota 17 (PN17) selepas ekuiti pemegang sahamnya susut di bawah paras yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia, namun syarikat menegaskan perkembangan itu tidak menjejaskan pelaksanaan pelan regularisasi yang sedang melalui proses kelulusan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata, berdasarkan penyata kewangan beraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, ekuiti pemegang saham disatukannya telah merosot kepada 25% atau kurang daripada modal saham terbitan serta berada di bawah RM40 juta, sekali gus memenuhi kriteria klasifikasi PN17.

 

Bagaimanapun, Pertama Digital menjelaskan status PN17 tersebut tidak mengubah hala tuju pelan pemulihan yang telah dirangka memandangkan syarikat sudah mengemukakan cadangan pelan regularisasi kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 8 April 2026 dan kini menunggu semakan serta kelulusan pihak berkuasa itu.

 

Syarikat itu sebenarnya telah dikategorikan sebagai penerbit tersenarai yang terjejas sejak Ogos 2022 selepas melupuskan perniagaan tekstilnya, Be Top Group Ltd pada harga RM70 juta sebagai sebahagian daripada strategi transformasi untuk memberi tumpuan kepada sektor perkhidmatan digital.

 

Pelupusan perniagaan utama tersebut telah mencetuskan keperluan di bawah Perenggan 8.03A Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia yang mewajibkan syarikat mengemukakan pelan regularisasi bagi mengekalkan status penyenaraiannya.

 

Menurut Pertama Digital, pelan yang dikemukakan kepada SC itu merangkumi cadangan pengambilalihan D-Ron Singapore Pte. Ltd. dan D-Ron Malaysia Sdn. Bhd., yang dijangka menjadi pemacu utama kepada usaha memulihkan kedudukan kewangan dan operasinya.

 

"Kami akan terus bekerjasama dengan penasihat serta pihak berkuasa kawal selia berkaitan bagi memastikan proses regularisasi berjalan lancar dan akan memaklumkan sebarang perkembangan material dari semasa ke semasa," katanya.

 

Syarikat itu turut mengingatkan bahawa kegagalan melaksanakan pelan regularisasi dalam tempoh yang ditetapkan boleh menyebabkan ia berdepan risiko dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia, tertakluk kepada hak untuk mengemukakan rayuan.

 

Dagangan saham Pertama Digital telah digantung sejak 14 November 2025 selepas syarikat gagal mengemukakan pelan regularisasi dalam tempoh yang ditetapkan Bursa Malaysia walaupun beberapa lanjutan masa telah diberikan.

 

Tarikh akhir asal pada Ogos 2023 telah dilanjutkan beberapa kali, masing-masing ke Februari 2024, Ogos 2024, Februari 2025 dan akhirnya Oktober 2025 sebelum tempoh berkenaan berakhir tanpa penyerahan pelan ketika itu. - DagangNews.com