PAC dedah bekas pengurusan MAHB pilih pemulihan dalaman, tolak penswastaan yang dimahukan Khazanah, KWSP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PAC dedah bekas pengurusan MAHB pilih pemulihan dalaman, tolak penswastaan yang dimahukan Khazanah, KWSP

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 2 Julai - Bekas pengarah bebas dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berpandangan syarikat itu mampu melaksanakan pembaharuan aset secara dalaman tanpa perlu melalui proses penswastaan, menurut Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

 

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, bekas pengarah bebas dan bekas CEO MAHB berpendapat pengendali lapangan terbang itu tidak memerlukan pelabur luar untuk membiayai program pembaharuan asetnya memandangkan kedudukan kewangannya yang kukuh.

 

"Bekas pengarah bebas dan bekas CEO MAHB yakin syarikat itu berupaya melaksanakan pembaharuan aset secara dalaman dengan bersandarkan penarafan kredit AAA serta fleksibiliti pembiayaan di bawah Perjanjian Operasi baharu yang dimeterai pada Mac 2024," katanya pada sidang media di Dewan Rakyat pada Rabu.

 

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata demikian ketika memberi taklimat kepada media mengenai pembentangan laporan PAC berhubung pengurusan lapangan terbang awam melibatkan Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan MAHB.

 

Turut hadir ialah Naib Pengerusi PAC, Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh, dan Ahli Parlimen Kapar, Halimah Ali, menurut laporan NST.


 

MAHB

 


Khazanah, KWSP pertahan keperluan penswastaan

Mas Ermieyati berkata, bekas pengarah bebas dan bekas CEO MAHB turut mendapati pelan hala tuju transformasi yang dibentangkan dalam tawaran pengambilalihan itu secara umumnya hampir sama dengan pelan dalaman sedia ada syarikat.

 

Bagaimanapun, Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.

 

"Khazanah dan KWSP menegaskan bahawa penswastaan menerusi rakan strategik teknikal, iaitu Global Infrastructure Partners (GIP), amat diperlukan bagi memberikan kejutan komersial, mempercepat proses membuat keputusan tanpa tekanan pembayaran dividen sebagai syarikat tersenarai, serta memecahkan budaya birokrasi sedia ada dalam organisasi," katanya.

 

Ditanya mengenai perubahan kualiti perkhidmatan MAHB selepas penswastaan, Mas Ermieyati berkata jawatankuasa itu masih belum menerima laporan prestasi pasca-penswastaan.

 

"Kami masih belum menerima laporan terperinci kerana semakan kami hanya meliputi peringkat awal selepas penswastaan.

 

"Atas sebab itu kami mengesyorkan agar laporan berkala dikemukakan kepada PAC bagi memastikan semua perbelanjaan adalah telus dan tidak berlaku ketirisan dana," katanya.

 

PAC kemuka lapan syor

PAC mengemukakan lapan syor dalam laporannya, termasuk sebarang perubahan pada struktur pegangan ekuiti MAHB atau pelupusan aset strategik pada masa hadapan mesti mendapat kelulusan Jemaah Menteri menerusi proses yang telus.

 

PAC turut mengesyorkan agar pegangan saham gabungan Khazanah dan KWSP dikekalkan pada kadar tidak kurang daripada 70%.


 

solar

 


Pada Februari 2025, MAHB telah diswastakan oleh konsortium empat pihak yang dikenali sebagai Gateway Development Alliance (GDA), terdiri daripada Khazanah Nasional, KWSP, Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) yang dianggotai Blackrock.

 

Konsortium itu mengambil alih pengendali lapangan terbang berkenaan pada nilai RM12.3 bilion pada harga RM11 sesaham, yang meletakkan penilaian ekuiti syarikat pada RM18.4 bilion.

 

Susulan transaksi itu, Khazanah muncul sebagai pemegang saham terbesar MAHB dengan pegangan 40%, diikuti KWSP sebanyak 30%, GIP (25%) dan ADIA (5%).

 

Secara keseluruhan, Khazanah dan KWSP menguasai pegangan kawalan sebanyak 70% dalam MAHB. - DagangNews.com