KUALA LUMPUR 2 Julai – Berjaya Food Bhd (BFood) melupuskan keseluruhan pegangan ekuiti 50% miliknya dalam Berjaya Paris Baguette Sdn. Bhd. (BPB) kepada Paris Baguette Singapore Pte. Ltd. pada harga pertimbangan tunai nominal RM1 sebagai sebahagian daripada langkah keluar sepenuhnya daripada perniagaan rangkaian kedai roti berkenaan di Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, perjanjian pembelian saham telah dimeterai pada 29 Jun 2026 dan urus niaga tersebut selesai sehari kemudian, iaitu pada 30 Jun 2026.
Pelupusan itu melibatkan 20 juta saham biasa yang mewakili keseluruhan pegangan 50% BFood dalam BPB.
Sebagai sebahagian daripada transaksi berkenaan, BFood turut menyelesaikan liabiliti BPB berjumlah RM3.91 juta yang merangkumi obligasi sewa beli serta komitmen pembayaran lain.
BPB merupakan syarikat yang bertanggungjawab membangunkan dan mengendalikan rangkaian kedai roti serta runcit Paris Baguette di Malaysia sejak memulakan operasi pada Januari 2023.
Bagaimanapun, perniagaan itu terus mencatatkan kerugian sejak pelancarannya.
Sehingga 31 Disember 2025, BPB merekodkan kerugian bersih tidak diaudit sebanyak RM67.09 juta dengan liabiliti bersih berjumlah RM33.41 juta.
Menurut BFood, kos asal pelaburannya bagi pegangan 50% dalam BPB adalah sebanyak RM20 juta, namun keseluruhan nilai pelaburan tersebut telah dirosot nilai sepenuhnya.
Kumpulan itu berkata, pelupusan berkenaan merupakan sebahagian daripada pelan penyusunan semula portfolio bagi menghentikan penglibatan dalam perniagaan Paris Baguette di Malaysia yang terus mengalami kerugian sejak diperkenalkan ke pasaran tempatan.
"Pelupusan ini akan menghapuskan pendedahan kumpulan terhadap kerugian berterusan BPB, sekali gus membolehkan kami mengagihkan sumber dan memberi tumpuan kepada perniagaan teras serta peluang pertumbuhan yang lebih berpotensi," katanya.
Dengan selesainya urus niaga tersebut, BPB tidak lagi menjadi syarikat usaha sama BFood.
Langkah itu dijangka membolehkan BFood memperkemaskan portfolio perniagaannya serta mengurangkan tekanan daripada operasi yang tidak menguntungkan, sekali gus memberi ruang kepada kumpulan untuk menumpukan sumber kepada segmen perniagaan yang mampu menyumbang pertumbuhan lebih mampan pada masa hadapan. - DagangNews.com








