Sapura Industrial jual tanah industri di Sri Sendayan bernilai RM24.7 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sapura Industrial jual tanah industri di Sri Sendayan bernilai RM24.7 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Dis - Sapura Industrial Berhad (SIB) menjual sebidang tanah industri pegangan bebas seluas 35,332 meter persegi di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan, berharga RM24.72 juta.


Kumpulan tersebut berkata, anak syarikat milik penuhnya, Sapura Machining Corporation Sdn Bhd (SMCSB), sudah menandatangani surat tawaran pelupusan aset berkenaan pada 24 Disember 2025


Menurutnya, tanah yang dibeli kumpulan berkenaan pada kos RM16.69 juta itu dinilai dengan harga pasaran mencecah RM25 juta oleh firma penilaian bebas, Raine & Horne pada November 2025.


"Transaksi penjualan hartanah tersebut dijangka menjana keuntungan kira-kira RM6.7 juta selepas dapat diselesaikan dengan pembeli," kata SIB dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Ia menyatakan hasil daripada penjualan tanah ini akan digunakan bagi keperluan modal kerja umum dan perbelanjaan modal pengembangan pengeluaran dalam tempoh 24 bulan selepas penerimaan bayaran.


Langkah penjualan ini jelasnya, turut memberi peluang kepada Kumpulan SIB untuk merealisasikan peningkatan nilai tanah yang telah dimiliki selama tujuh tahun dan menukarnya kepada dana tunai.


Pihak pengurusan menilai hasil pelupusan untuk kegunaan operasi yang lebih produktif, namun urus niaga berkenaan masih lagi tertakluk kepada pengeluaran kelulusan oleh pihak berkuasa negeri.


"Selain itu, transaksi tersebut turut bergantung kepada pembayaran baki sebanyak 90% daripada harga jualan dalam tempoh 90 hari selepas kelulusan diperoleh," jelas kumpulan berkenaan lagi.


Setakat tarikh pengumuman itu, perjanjian jual beli (SPA) masih belum ditandatangani dengan mana-mana pihak dan sebarang perkembangan selanjutnya akan dimaklumkan segera kepada Bursa Malaysia.


SIB menegaskan, penjualan tanah ini tidak dijangka memberi kesan material terhadap hasil, aset bersih sesaham atau kadar hutang bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026. - DagangNews.com